◉ HEADLINES

Kerajaan AS guna pengisytiharan kecemasan jual peluru kereta kebal kepada Israel

Senjata itu termasuk peluru untuk kereta kebal Merkava yang kerap digunakan tentera Israel dalam serangannya di Gaza

11:04 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggunakan pengisytiharan kecemasan untuk membenarkan penjualan kira-kira 14,000 peluru kereta kebal kepada Israel tanpa semakan Kongres, kata Pentagon semalam.

Jabatan Negara AS kelmarin menggunakan perisytiharan kecemasan Akta Kawalan Eksport Senjata untuk peluru bernilai $106.5 juta bagi penghantaran segera ke Israel.

Peluru itu adalah sebahagian daripada jualan lebih besar yang diminta pentadbiran Biden untuk diluluskan Kongres AS.

Senjata bernilai lebih AS$500 juta, termasuk 45,000 peluru untuk kereta kebal Merkava yang kerap digunakan tentera Israel dalam serangannya di Gaza.

Apabila perang semakin memuncak, bagaimana dan di mana sebenarnya senjata AS digunakan dalam konflik itu tidak diketahui, walaupun pegawai republik tersebut mengatakan tidak ada rancangan untuk meletakkan syarat bantuan ketenteraan kepada Israel.

Peguam bela hak asasi menyatakan kebimbangan mengenai penjualan peluru itu, mengatakan ia tidak sejajar dengan usaha Washington untuk menekan Israel meminimumkan korban orang awam.

Seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata, Washington secara jelas meminta Israel mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengambil setiap langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan bahaya kepada orang awam.

Katanya, cadangan penjualan senjata itu menyampaikan komitmen AS terhadap keselamatan Israel, sekali gus akan meningkatkan keupayaan pertahanan negara itu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menentukan dan memberikan justifikasi terperinci kepada Kongres bahawa peluru kereta kebal itu mesti segera diberikan kepada Israel demi kepentingan keselamatan negara itu.

Jualan akan dibuat daripada inventori tentera AS dan terdiri daripada peluru kereta kebal M830A1 MPAT 120mm dan peralatan berkaitan.

Kereta kebal Merkava Israel, yang menggunakan peluru 120mm, juga dikaitkan dengan insiden kematian seorang wartawan.

Pada hari Khamis lalu, siasatan Reuters mendedahkan bahawa kru kereta kebal Israel membunuh wartawan Reuters, Issam Abdallah dan mencederakan enam wartawan lain dengan melepaskan dua das tembakan berturut-turut.

Serangan itu dilancarkan dari Israel ketika sekumpulan wartawan sedang merakam serangan rentas sempadan. – 10 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Malaysia risks missing World Cup 2026 as pressure mounts for Free-to-Air broadcast deal

Analysts urge urgent government intervention to secure accessible coverage of the FIFA World Cup 2026, warning that cost barriers could sideline fans and weaken the nation’s football culture

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related