◉ HEADLINES

‘Tiada tempoh berbulan madu buat mana-mana anggota Kabinet’: Anwar

Anggota Kabinet perlu menyelesaikan masalah rakyat, menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara

7:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan setiap anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan bahawa mereka tidak mempunyai tempoh ‘bulan madu’.

Perdana Menteri berkata, mereka sebaliknya mesti melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan segera dan sebaik mungkin.

Katanya, anggota Kabinet perlu menyelesaikan masalah rakyat, menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara.

“Tiada tempoh berbulan madu buat mana-mana anggota Kabinet, sebaliknya saya tuntut hasil untuk kerajaan ini segera menyelesaikan masalah rakyat, menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Melalui hantaran sama, Anwar memaklumkan, pada mesyuarat pertama Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan hari ini, beliau menekankan kepada setiap anggota Jemaah Menteri terbabit mengenai bidang tugas baharu di kementerian masing-masing.

“Pagi tadi saya mengalu-alukan kebersamaan ahli-ahli Jemaah Menteri yang baharu, iaitu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pada Mesyuarat Pertama Kabinet Baharu Jemaah Menteri.

“Dalam mesyuarat ini saya tekankan mengenai bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat itu juga mengutus penghargaan kepada mantan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar atas sumbangan diberikannya sepanjang setahun memegang portfolio terbabit.

“Saya turut titip pesan agar tumpuan dan keutamaan kini mesti lebih terarah serta pantas dalam usaha menterjemah cita dan nurani rakyat,” katanya.

Barisan Kabinet kali ini lebih kecil berbanding pentadbiran lalu, tetapi sedikit besar dibandingkan senarai Jemaah Menteri sekarang. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 13 Disember, 2023

Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet, dengan menamakan lima menteri baharu, manakala seorang, Sivakumar digugurkan daripada senarai anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Lima timbalan menteri baharu juga dinamakan, dengan dua digugurkan.

Ia turut menampilkan wajah baharu dan lama, termasuk bekas menteri yang membuat kemunculan semula, antaranya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, barisan Kabinet kali ini lebih kecil berbanding pentadbiran lalu, tetapi sedikit besar dibandingkan senarai Jemaah Menteri sekarang.

Spekulasi rombakan Kabinet mula diperkatakan selepas Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketiadaan menteri susulan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Tanggungjawab itu dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali ketika itu dan kini beliau dilantik sebagai Menteri penuh di kementerian berkenaan.

Kabinet penuh Kerajaan Perpaduan pertama kali diumumkan pada 2 Disember tahun lalu yang menyenaraikan 28 menteri dan 27 timbalan menteri.

Jemaah Menteri diumum Anwar juga ketika itu, mencipta sejarah tersendiri apabila menyaksikan dua Perdana Menteri dilantik, iaitu Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof – 13 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related