◉ HEADLINES

Dasar Pandang ke Timur kini termasuk China: PM

Teknologi digital, keselamatan siber sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu

11:22 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi, kini turut berminat untuk belajar dari China.

“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun,” katanya kepada Asahi Shimbun ketika ditemu bual di Tokyo kelmarin.

Beliau merujuk kepada Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat, Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” kata beliau seperti dipetik oleh akhbar Jepun itu.

Anwar berkata, teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.

Pemimpin itu melakukan lawatan kerja lima hari ke Tokyo mulai 15 Disember lalu bagi menghadiri sidang kemuncak sempena ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan Asean.

Malaysia menyokong dasar luar yang ‘teguh dan bebas’, dan beliau berkata, negara akan berurusan dengan China bergantung kepada kepentingan Malaysia.

Kata Perdana Mengeri, ketika melawat Amerika Syarikat (semasa APEC 2023 baru-baru ini), beliau ditanya mengapa Malaysia terarah kepada China.

Beliau menjawab: “Kerana mereka melabur lebih banyak”.

Begitupun Anwar berkata, Malaysia akan tetap tegas berunding dengan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan tidak membenarkan sebarang tindakan sepihak oleh Beijing.

Perdana Menteri juga menyifatkan Jepun sebagai ‘rakan strategik yang sangat penting’ sambil menyatakan hubungan Malaysia dengan Jepun harus diperluas di bawah dasar Pandang Ke Timur seperti berkongsi etika dan teknologi Jepun.

Menurut Asahi Shimbun, Jepun pada 16 Disember mengumumkan akan menyediakan peralatan untuk aktiviti amaran dan pengawasan bernilai 400 juta yen (kira-kira RM10.31 juta), termasuk bot penyelamat dan dron kepada tentera Malaysia di bawah program bantuan keselamatan rasmi.

Anwar menekankan bahawa peralatan pertahanan itu untuk membantu Malaysia melindungi perairan wilayahnya dan ia tidak termasuk mana-mana kapal selam atau pesawat besar.

Bantuan itu juga katanya untuk keperluan keselamatan.

Semasa lawatan itu, Malaysia dan Jepun telah meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. – 19 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related