◉ HEADLINES

Teliti semula bicara isu-isu libatkan hal ehwal Islam: MB Selangor tegur Ngeh Koo Ham

Titah Sultan Selangor hadir tepat masanya, perlu menjadi titik noktah ahli politik gagal memahami realisme politik Malaysia

5:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham wajar meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu melibatkan hal ehwal agama Islam kerana pemimpin DAP itu pernah beberapa kali mencetuskan polemik yang berlegar pada skop sama sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai seorang pengamal undang-undang berpengalaman, sewajarnya pandangan dan komentar sedemikian tidak ada sebarang keperluan untuk dipertimbang malah tiada kepentingan dilontar sebagai sebuah topik perbincangan.

Malah tegas Amirudin, ia sebetulnya membebani parti beliau yang pada ketika ini berada di tahap terbaik untuk sama-sama memperjuang agenda Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan yang jelas dan tuntas meletakkan Islam di tahap tertinggi.

“Ini juga sebagai pembuktian komitmen Pakatan Harapan melalui kombinasi strategik bersama Barisan Nasional untuk menjadi perisai pertahanan agama Islam yang lebih baik berbanding mana-mana entiti terdahulu.

“Upaya Perdana Menteri, Datuk SeriAnwar Ibrahim yang istiqamah dan tegas dalam memperihalkan perkara berkaitan agama Islam dan hal ehwal Melayu perlu disambut dengan adab, bijak dan cakna oleh setiap ahli politik khususnya ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ngeh supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Ia mendapat teguran keras Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah bahawa MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Justeru baginda mengharapkan agar ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Malah titah baginda, penganut agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

Mengulas lanjut, Amirudin bekata, beliau mewakili segenap lapisan masyarakat dan rakyat Negeri Selangor menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Selangor melalui titah terkini baginda sebagai respons kepada gesaan Ahli Parlimen Beruas itu.

“Kewenangan pengurusan agama Islam yang menjadi prerogatif khusus sesebuah negeri melalui payung raja-raja Melayu, sewajarnya difahami tanpa sebarang dakwa-dakwi yang memungkinkan penyelewengan tafsir berlaku sehingga mencetus keresahan yang tidak perlu.

“Titah Sultan Selangor hadir tepat masanya sekali gus perlu menjadi titik noktah kepada mana mana ahli politik yang gagal memahami realisme politik Malaysia dalam cakupan yang menyeluruh,” katanya. – 30 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related