◉ HEADLINES

SPRM mula siasatan kes RM700 juta dibelanjakan dua kerajaan sebelum ini untuk promosi, publisiti media

Agensi itu dilaporkan ke MoF dan JPM untuk proses siasatan serta mengumpul maklumat dan mendapatkan dokumen berkaitan hari ini

8:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung penggunaan wang RM700 juta untuk tujuan promosi dan publisiti media, bagi menghebahkan pencapaian kerajaan antara 2020 dan 2022, ketika pentadbiran dua Perdana Menteri.

Menurut sumber, SPRM ke Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk proses siasatan serta mengumpul maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan hari ini.

Katanya, siasatan itu dibuat berdasarkan maklumat awal, sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November lalu.

Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan, menerusi semua platform media massa, termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020, hingga kini.

Susulan kenyataan Anwar itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut membuat catatan di X baru-baru ini, bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta dibelanjakan.

“SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta, baru-baru ini.

“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang itu, dibelanjakan dan adakah proses mengikut tatacara yang betul,” katanya.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan siasatan itu, tetapi enggan mendedahkan butirannya.

Terdahulu, Scoop melaporkan bahawa siasatan penyelewengan dan perbelanjaan berlebihan ditumpukan ketika tempoh Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana ketiadaan kertas kerja dan dokumentasi yang terlibat dalam pembayaran kira-kira RM500 juta untuk kontrak media dan publisiti.

Penelitian difokuskan sama ada keadaan darurat yang berkuat kuasa pada 12 Januari 2021 sudah disalahgunakan untuk memintas proses perolehan dan prosedur tadbir urus.

November lalu, Anwar berkata, kerajaan mengehadkan peruntukan perbelanjaan bagi iklan promosi dan pembelian media untuk polisinya sebanyak RM100 juta bermula 2024.

“Bagi tahun 2024, saya sudah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengelak daripada meluluskan lebih RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM700 juta dibelanjakan untuk publisiti kerajaan melalui semua platform media termasuk cetak, televisyen dan media sosial.

Jumlah itu kebanyakannya semasa pentadbiran Muhyiddin dan penggantinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dari 29 Februari 2020 hingga 16 Ogos 2021, sebelum digantikan Ismail Sabri yang menerajui negara bermula 21 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan pada 24 November 2022 dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Menerusi laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Setapak pada 30 Disember 2023, ia merujuk kepada artikel berita Utusan Malaysia bertarikh 11 November yang menyatakan bahawa jumlah dibelanjakan adalah untuk menghebahkan agenda kerajaan terdahulu dari tahun 2020 hingga 2022.

“Jumlah dibelanjakan adalah besar, saya rasa ia tidak sesuai dan menuntut supaya ada perincian di mana RM700 juta wang rakyat ini dibelanjakan kerajaan terdahulu,” menurut laporan polis itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, kes terbabit sudah dirujuk kepada MoF. – 2 Januari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

MACC probes IJM over alleged RM2.5bil money laundering scheme, Sunway takeover at risk

The Malaysian Anti-Corruption Commission is probing IJM Corporation over alleged money laundering and possible share price manipulation involving RM2.5bil, a probe that could jeopardise Sunway Group’s proposed RM11.5bil takeover of the construction giant

Jakim, Islamic affairs get RM2 bil under Budget 2025

This includes maintenance for educational infrastructure under dept, increased Kafa teacher quota, rehabilitation for GISB kids

◉ Related