◉ HEADLINES

Tahap kedua pemulihan bekalan air di Pulau Pinang bermula pagi ini: PBAPP

Tahap ketiga iaitu pemulihan bekalan air melibatkan 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau dijangka pulih sepenuhnya menjelang 6 pagi Ahad

9:48 AM MYT

 

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan tahap kedua pemulihan bekalan air bermula dari 6 pagi hari ini dengan pengepaman optimum air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau negeri itu.

PBAPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mereka menyasarkan untuk memulihkan bekalan air kepada 495,065 pengguna menjelang 6 pagi esok (13 Januari).

“Pengguna yang berhampiran dengan Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar akan mendapat bekalan air terlebih dahulu seterusnya bekalan akan diperluaskan ke luar dan ke selatan ke arah kawasan di daerah Barat Daya.

“Ini adalah selaras dengan urutan pemulihan yang ditetapkan selepas setiap kali LRA Sungai Dua ‘dimulakan semula’ dan PBAPP akan terus memberi kemas kini mengenai proses pemulihan tahap kedua hari ini,” menurut kenyataan itu.

Tahap kedua melibatkan 495,065 pengguna atau 84 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau.

PBAPP dalam kenyataan itu turut memaklumkan tahap satu pemulihan bekalan air membabitkan 197,025 pengguna atau 33 peratus daripada pengguna terjejas di Seberang Perai telah selesai.

Tahap ketiga iaitu pemulihan bekalan air melibatkan 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau belum selesai dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang 6 pagi Ahad (14 Januari).

Menurut PBAPP, pengujian dan pengoperasian semula secara beransur-ansur saluran paip dasar Sungai Perai yang siap dibaiki semalam telah selesai. – Gambar ihsan PBAPP, 12 Januari, 2024

“Tahap keempat pula pemulihan bekalan air bagi baki 0.5 peratus daripada pengguna terjejas di kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi di kawasan selatan bahagian pulau dijangka selesai juga pada 6 pagi Ahad nanti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, pengujian dan pengoperasian semula secara beransur-ansur saluran paip dasar Sungai Perai yang telah siap dibaiki semalam juga telah selesai.

Sungai Perai merupakan lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di LRA Sungai Dua.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi Rabu, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan Daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam. – 12 Januari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

MACC probes IJM over alleged RM2.5bil money laundering scheme, Sunway takeover at risk

The Malaysian Anti-Corruption Commission is probing IJM Corporation over alleged money laundering and possible share price manipulation involving RM2.5bil, a probe that could jeopardise Sunway Group’s proposed RM11.5bil takeover of the construction giant

Daylight heist at Brickfields: Armed gang storms jewellery shop, escapes in minutes

Guard assaulted as masked gang strikes mid-morning, fleeing with valuables in a tightly coordinated raid within minutes

◉ Related