◉ HEADLINES

Muhyiddin dapat pasport, boleh hadir majlis di Bangkok

Ini adalah kali kedua Mahkamah Sesyen membenarkan pelepasan pasport sementara kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin

12:30 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan semula pasportnya secara sementara untuk ke Thailand.

Ia bagi membolehkan beliau menghadiri pembukaan restoran halal milik rakannya yang juga rakyat Malaysia di Bangkok.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas berpuas hati untuk melepaskan pasport sementara pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bermula hari ini sehingga 23 Februari depan.

Muhyiddin, yang berdepan dengan tuduhan penggubahan wang haram, telah membuat permohonan berkenaan pada 31 Januari lalu.

Timbalan Pendakwaraya Xander Lim sebelum ini telah memfailkan afidavit membantah permohonan berkenaan dengan alasan ia tidak munasabah dan tiada keperluan mendesak yang mewajarkan pelepasan pasport kepada pemohon.

Lim berkata tujuan perjalanan Muhyiddin yang dinyatakan ialah untuk mengukuh dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan kenalan serta menghadiri acara pembukaan sebuah restoran yang diberi nama Phrigkiao.

“Alasan-alasan tersebut adalah tidak munasabah dan tiada keperluan mendesak yang mewajarkan pelepasan pasport sementara kepada pemohon dan alasan-alasan yang dikemukakan pemohon tanpa ada keterangan sokongan dalam afidavit,” katanya.

Lim juga menyatakan Mahkamah Sesyen telah menetapkan 15 Februari untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta yang dihadapi Muhyiddin dan permohonan beliau untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

“Kehadiran pemohon pada prosiding itu adalah wajib. Perkara ini ada dalam pengetahuan penuh pemohon tetapi pemohon masih membuat tempahan tiket penerbangan pada tarikh tersebut,” katanya di dalam afidavit itu.

Ini adalah kali kedua Mahkamah Sesyen membenarkan pelepasan pasport sementara kepada Muhyiddin.

Pada 29 November lalu, beliau dibenarkan untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta bercuti bersama keluarga ke London.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport secara kekal.

Muhyiddin, 76, berdepan dengan tiga tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta, yang dikaitkan dengan projek Jana Wibawa.

Pada 15 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Pihak pendakwaan memfailkan notis di Mahkamah Rayuan pada hari sama dan pendengaran kes itu ditetapkan pada 28 dan 29 Februari ini. – 8 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related