◉ HEADLINES

PM kecam pihak tertentu sengaja politikkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin

Kes itu difailkan pada 2021 tetapi pembangkang yang menjadi kerajaan ketika itu tidak mengambil apa-apa tindakan

4:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam pihak tertentu yang sengaja mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dengan mendakwa ia menentang undang-undang syariah.

Perdana Menteri berkata, ketika kes itu mula difailkan pada 2021, pembangkang yang ketika itu menjadi kerajaan, langsung tidak mengambil apa-apa tindakan mengenainya.

“Saya belum jadi perdana menteri. (Ketika itu juga) tiada bantahan atau ada jawatankuasa (mengkaji kes tersebut)… tidak ada.

“Tetapi sebaik kita memerintah dan keputusan dibuat, kita diserang dan dicerca sebegitu rupa termasuk hakim-hakim (yang buat keputusan).

“Jika kita membenarkan semua negeri mempunyai undang-undang mereka, kita akan mempunyai 13 undang-undang berbeza,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP): 50 Tahun Memacu Kegemilangan di Taman Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.

Menurut beliau, sesetengah pihak mempercayai kritikan terhadap keputusan itu tanpa cuba memahami undang-undang dengan betul.

“Semua pihak harus membaca penghakiman penuh keputusan Mahkamah Persekutuan. Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) menjelaskan bahawa tidak ada usaha untuk menggugat agama Islam atau Mahkamah Syariah atau membincangkan kedudukan undang-undang negeri dalam Perlembagaan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Tengku Maimun membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut bebas mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Khas yang meneliti isu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Kita terbuka kepada sebarang cadangan dan pandangan yang boleh disampaikan kepada (bekas Ketua Hakim Negara) Tun Zaki Tun Azmi, yang mempengerusikan jawatankuasa (Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam) dalam usaha untuk memperkukuh mahkamah syariah,” katanya.

Anwar juga berkata, Jawatankuasa Khas itu perlu berbincang dengan negeri, pemimpin agama dan ahli akademik sebelum memberikan cadangannya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pada Khamis, Pengerusi MKI, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah baginda dimaklumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas, yang ditubuhkan pada Ogos tahun lepas untuk mengkaji isu-isu berkaitan kompetensi dewan undangan negeri untuk menggubal undang-undang syariah, kini sedang meneliti isu-isu yang mungkin timbul daripada keputusan Mahkamah Persekutuan.

Sultan Sharafuddin bertitah keputusan Mahkamah Persekutuan mesti dihormati, dan Perlembagaan Persekutuan juga mesti dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. – 18 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related