◉ HEADLINES

Harga maksimum tiket sehala ke Sabah, Sarawak, Labuan RM599

Harga itu ditawarkan bagi perjalanan tiga hari sebelum Aidilfitri

11:18 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bersempena Aidilfitri tahun ini, kerajaan menetapkan harga maksimum tiket penerbangan pada kadar RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, harga bagi kelas ekonomi itu ditawarkan untuk tempoh perjalanan tiga hari menjelang Aidilfitri.

Katanya, inisiatif berkenaan ditetapkan kerajaan bagi membantu melancarkan percutian orang ramai untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing pada April nanti.

“Memang kita ada dasar untuk semua perayaan, sama ada Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Gawai, Keaamatan dan Krismas, (selama) tiga hari sebelum raya, kerajaan akan tetapkan harga maksimum itu.

“Dalam Semenanjung tiada harga maksimum sebab ada mod pengangkutan lain seperti bas dan kereta api.

““Kalau yang beli awal (tiket penerbangan) mungkin dapat harga lebih murah, tapi kalau ada kekurangan tiket, maka harga akan melambung, sebarang kenaikan daripada RM599 akan ditampung menerusi subsidi kerajaan dalam tempoh tiga hari itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pecah tanah bangunan baharu bertingkat sebuah sekolah di Jelebu, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, bagaimanapun kementeriannya akan meminta pandangan daripada semua pihak, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar untuk mengetahui tarikh sambutan sebenar Aidilfitri.

Menurutnya, ia perlu diketahui secara tepat sebelum penetapan harga tiket itu dilaksanakan.

“Saya difahamkan raya tahun ini mungkin pada Rabu (12 April) atau lebih awal, kita anggarkan tahun ini waktu puncak (orang pulang) adalah pada Sabtu (9 April) dan Ahad (10 April) sebelum raya.

“Jadi penetapan kita mungkin pada hujung minggu tersebut, itu anggaran tapi kita kena dapatkan pandangan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chennah berkata, syarikat penerbangan turut menyediakan penerbangan tambahan.

Malah, ada syarikat yang menawarkan harga tetap untuk penerbangan tertentu pada waktu malam.

Anthony berkata, umpamanya AirAsia yang menyaksikan syarikat itu ada menawarkan harga tetap murah untuk penerbangan pada waktu malam, dengan hanya beberapa penerbangan khas setiap hari yang akan dilancarkan Mac nanti.

Sementara itu, ditanya mengenai terdapat individu yang menyewa helikopter untuk pulang ke kampung halaman pada musim perayaan, Loke berkata perkara itu belum menjadi norma masyarakat.

“Namun, sebarang bentuk penerbangan mesti didaftarkan kepada pihak berkaitan,” katanya. – 24 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

RM200m World Cup rights fee puts Malaysia’s 2026 viewing at risk

Malaysia could miss live coverage of the 2026 FIFA World Cup as a steep RM200 million broadcasting fee strains Astro and RTM, raising doubts over whether fans will be able to watch football’s biggest tournament

Education Ministry scraps teacher training system to lighten workload

Minister Fadhlina Sidek vows to help teachers focus on what matters most – teaching – as new curriculum changes approach

◉ Related