◉ HEADLINES

Jangan jadikan isu kelemahan ringgit sebagai senjata politik: PM

Apabila semua perkara dipolitikkan, dunia mula hilang keyakinan dan pelaburan akan berada di tahap perlahan

6:33 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu kejatuhan nilai ringgit sebagai senjata politik sehingga tidak bersandarkan kepada fakta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi perkara itu termasuk dengan memperkenalkan kerangka Malaysia Madani yang bertujuan memperkasa ekonomi negara.

Beliau berkata, hasilnya, pada tahun lalu pelaburan mencatatkan jumlah paling tinggi dalam sejarah di sebalik kejatuhan nilai ringgit.

“Kadang-kadang orang lupa, bila jadi isu politik nak hentam sahaja. Kalau dunia tiada keyakinan, pelaburan akan di tahap perlahan.

“Dunia dan pelabur ada keyakinan, maka kita catat pelaburan tertinggi (tahun lalu) dalam sejarah Malaysia, inflasi menurun, kadar pengangguran menurun dan pertumbuhan (ekonomi) dapat dipertahankan dalam keedaan dunia lembap dari segi pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Restu Global Quranic Arts Festival 2024 di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.

Anwar berkata, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dapat ditangani memandangkan perdagangan Malaysia dengan China, Indonesia dan Thailand menggunakan nilai mata wang tempatan.

“Perdagangan Malaysia yang terbesar ialah dengan China iaitu 25% dagangan menggunakan ringgit dan mata wang China (renminbi), 18% dengan Indonesia menggunakan ringgit dan rupiah, 20% dengan Thailand menggunakan ringgit dan baht, maka isu dolar tidak ada kesan.

“Kita bimbang kalau kalau ringgit jatuh, inflasi naik, pertumbuhan terbantut dan pelaburan tidak datang. Itu kita bimbang… sekarang ini semua angka dan data ekonomi menunjukkan kita di landasan yang betul,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, perkara paling dibimbanginya adalah jika ringgit jatuh, inflasi naik, pertumbuhan terbantut dan pelaburan tidak datang. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 24 Februari, 2024

Sementara itu, Anwar berkata konteks Madani bertujuan untuk mengangkat ekonomi, selain memperkasa seni dan budaya, namun dalam masa yang sama nilai dan akhlak itu tetap diterap dalam setiap pembangunan.

“Apa erti pembangunan mencakar langit (kalau) rakyat tertekan dan tidak dipeduli? Apa erti kilang-kilang dan gedung-gedung hebat tetapi pekerja dalamnya ditekan dengan gaji rendah,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya menyeru agar budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran terus diperluas bagi melahirkan generasi al-Quran.

“Generasi al-Quran ini, dia baca, faham dan amalkan. Kalau tidak, kita ada kesenjangan atau perbezaan. Kita bicarakan mengenai keadilan, tapi kita tolak ansur dengan penyelewengan, kezaliman dan rasuah yang berlaku.

“Pendirian saya dalam Kerajaan Madani, saya tidak mahu tolak ansur lagi mengenai prinsip tatakeloka, bersihkan negara daripada rasuah,” katanya.

Restu Global Quranic Arts Festival 2024 bertema “Gaya Hidup Islami” yang berlangsung dari 23 Februari hingga 3 Mac ini bertujuan mempromosi Islam sebagai sebahagian gaya hidup selain menggalakkan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap al-Quran melalui medium seni.

Pada majlis hari ini Anwar turut melancarkan Mushaf Al-Ummah yang bertujuan mengembalikan tradisi penyalinan al-Quran seperti yang dilakukan sepanjang sejarah Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Anwar juga melancarkan Buku Adab Madani bagi mengembalikan budaya menyalin dan menulis dalam kalangan masyarakat, menggalakkan penulisan positif agar elemen positif ditonjolkan dalam kehidupan masyarakat berbanding elemen negatif, selain memupuk akhlak baik merentasi bangsa, warna kulit, golongan dan fahaman.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Timbalan Pengerusi merangkap Pemegang Amanah Yayasan Restu, Datuk Seri Ahmad Maslan. – 24 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related