◉ HEADLINES

Syarikat Australia minat teruskan pelaburan RM24.5 bilion di Malaysia: Anwar

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hasrat tersebut telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan lebih 20 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa

10:32 AM MYT

 

MELBOURNE – Syarikat-syarikat terkemuka Australia berminat untuk melabur dan mengembangkan pelaburan sedia ada berjumlah RM24.5 bilion di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hasrat tersebut telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan lebih 20 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa.

Perdana Menteri sedang mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Australia yang memasuki hari kedua hari ini.

Beliau berkata antara syarikat Australia yang akan membawa potensi pelaburan tersebut ialah syarikat pengendali pusat data iaitu AirTrunk sebanyak RM11 bilion dan NextDC kira-kira RM3 bilion.

“Lynas pula berminat untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia manakala syarikat lain yang juga akan membawa potensi pelaburan adalah Fortescue, Macquarie Group dan Arnott’s Group.

“Ini satu kemajuan yang membanggakan serta menunjukkan minat Australia dan keyakinan mereka terhadap dasar yang telah kita umumkan selama ini,” kata beliau pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata pelaburan tersebut akan memberi peluang kepada kira-kira 1,200 tenaga mahir di Malaysia.

Anwar berkata jumlah potensi pelaburan yang akan memasuki Malaysia juga melebihi jangkaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dari segi perdagangan, beliau berkata potensi jualan eksport Malaysia ke Australia bernilai lebih RM900 juta melibatkan produk seperti urea, kayu, makanan dan komponen elektrik yang dijangka diraih sempena lawatan tersebut.

Beliau berkata usaha kerajaan memberi penjelasan untuk menjawab sebarang kegusaran dan kemusykilan memberi keyakinan kepada pelabur dan ahli perniagaan Australia terhadap prospek Malaysia. – 6 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related