◉ HEADLINES

KKM kompaun gerai bazar Ramadan jual martabak ‘kain buruk’

Baru-baru ini Scoop melaporkan mengenai aduan seorang wanita mengenai martabak yang dibelinya mengandungi cebisan kain buruk di dalamnya

3:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan notis kompaun terhadap gerai menjual martabak di Bazar Ramadan Desa Pandan dekat sini selepas pembeli menemukan ‘kain buruk’ pada makanan tersebut.

Menurut kenyataan KKM, tindakan itu dilakukan di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“KKM memandang serius aduan yang tular di media sosial mengenai pencemaran makanan di bazar Ramadan dengan penemuan kain di dalam martabak yang dibeli di Bazar Ramadan Desa Pandan baru-baru ini.

“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kecuaian semasa pengendalian makanan telah menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut,” katanya.

Menurut KKM, beberapa kesalahan lain yang dikenal pasti telah dilakukan oleh pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak.

Malah katanya, pemilik gerai itu juga menggunakan kain pengelap yang tidak bersih selain tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.

Dalam perkembangan sama, KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara.

Sehingga kini katanya, sebanyak 10,570 buah premis bazar Ramadan telah diperiksa dan peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“KKM ingin mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.

“Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi dari kebiasaan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka,” katanya.

Tambahnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM ingin menegaskan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal,” katanya.

Baru-baru ini Scoop melaporkan mengenai aduan seorang wanita mengenai martabak yang dibelinya mengandungi cebisan kain buruk di dalamnya.

Wanita itu mendakwa membeli martabak tersebut di Desa Pandan.

Menceritakan kejadian menjijikkan itu, wanita tersebut memaklumkan dia cuba memotong martabak terbabit dan alangkah terkejutnya selepas mendapati secebis kain buruk melekat bersama inti makanan tersebut. – 27 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related