◉ HEADLINES

Tengku Permaisuri Selangor tak setuju kaedah tangkap lupus anjing terbiar, mahu PBT perinci semula pendekatan baharu

Baginda berulang kali menekankan tidak bersetuju dengan pendekatan tangkap dan lupus dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

5:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita berkenaan perkembangan operasi penangkapan anjing berkeliaran khususnya di Selangor.

Titahnya, baginda berulang kali menekankan tidak bersetuju dengan pendekatan tangkap dan lupus dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) di bawah Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, baginda mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing terbiar.

“Saya percaya banyak lagi kaedah lain yang boleh digunapakai untuk membendung masalah ini termasuk pemandulan (neuter).

“Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

“Kempen CCC antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama melibatkan kerjasama di antara PBT dengan SPCA dalam mengendalikan sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

“Ini termasuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan badan bukan kerajaan (NGO) sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya,” titah baginda.

Susulan itu, baginda turut mencadangkan, PBT boleh mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk yang sayangkan haiwan.

Titah baginda, PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.

“Ketika ini, SPCA Selangor Bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing, “Potong-Royong”.

“Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan sudah dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar,” titahnya.

Sementara itu, baginda berpendapat sudah tiba masanya untuk pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di kawasan PBT agar lebih relevan dengan situasi semasa.

“Saya benar-benar berharap usaha untuk menjaga kebajikan haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja,” katanya. – 1 April, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related