◉ HEADLINES

Pemandu pacuan empat roda langgar dua beradik ditahan, direman hari ini

Ujian saringan air kencing terhadap pemandu Toyota Hilux itu bagaimanapun mendapati dia negatif dadah

9:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemandu pacuan empat roda yang dipercayai terbabit dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan kematian dua beradik di Kilometer (KM) 38 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Taman Desa Salak Jaya di Sungai Siput, Perak pagi semalam sudah ditahan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, lelaki dalam lingkungan usia 50-an itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun sawit sekitar Salak Baru, 1.20 tengah hari semalam.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu Toyota Hilux yang bekerja sebagai kontraktor bagaimanapun mendapati dia negatif dadah.

“Kenderaan suspek turut dirampas. Memandangkan dia tidak membuat laporan polis susulan insiden kemalangan itu, jadi kita berusaha menangkap suspek.

“Ketika ditangkap suspek didapati berada dalam kenderaan Toyota Hilux itu,” katanya.

Mohd Khaizam berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mereka adalah disebabkan polytrauma with suspected neck injury/cervical fracture,” katanya.

Terdahulu, Mohd Khaizam mengesahkan kematian dua beradik itu yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru, Kuala Kangsar yang dilanggar lari pacuan empat roda dalam kejadian itu.

Difahamkan, kejadian kira-kira 7.10 pagi itu berlaku ketika penunggang motosikal, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan, 13, dalam perjalanan ke sekolah.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan terbabit dari arah Kuala Kangsar menghala Ipoh memasuki simpang ke sebelah kanan iaitu di persimpangan Taman Desa Salak secara tiba-tiba.

Menurutnya, ia menyebabkan kenderaan itu merempuh motosikal Honda EX5 dua pelajar terbabit yang datang dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, kedua-duanya maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat. – 6 April 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related