◉ HEADLINES

Selepas dilanda banjir terburuk dalam masa 75 tahun, Dubai kini kembali normal

Media sosial sejak semalam dipenuhi dengan hantaran mengenai banjir di Dubai, malah video-video mengenai banjir itu mengejutkan ramai

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Banjir teruk yang melanda Dubai dan terburuk dalam tempoh 75 tahun, sudah kembali normal hari ini.

Menurut salah seorang rakyat Malaysia yang bertugas di sana, dikenali sebagai Sara, sekolah yang ditutup semalam sudah dibuka malah jalan raya di kawasan perumahannya juga sudah kering.

Sara turut memberitahu Scoop, keadaan hujan yang mengakibatkan banjir kilat itu sangat teruk semalam umpama dilanda tsunami.

“Hujan paling lebat dalam 75 tahun. Tapi hari ini keadaan baik dan kembali normal. Kalau hujan dekat sini macam tsunami, lagi sejuk dari Malaysia,’’ katanya yang turut memaklumkan rumahnya turut dimasuki air.

Sara sebelum ini pulang ke tanah air untuk menyambut Hari Raya namun sudah kembali ke Dubai memandangkan anaknya akan memulakan persekolahan pada Isnin lalu.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang bertugas di Dubai, Fikri Mohamad memaklumkan banyak kenderaan terkandas akibat ditenggelami air sepanjang jalan ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja.

Fikri memaklumkan dia cuba melepasi satu kawasan yang masih ditenggelami banjir, namun bimbang untuk melepasi kawasan itu meskipun ia hanya berjarak satu kilometer dari tempat kerjanya.

“Ada yang cuba memandu melepasi kawasan itu, ada yang lepas dan ada yang terkandas. Setelah berbincang dengan penyelia saya, dia menasihatkan saya untuk mengutamakan keselamatan dan berpatah balik,’’ demikian tulisnya dalam Facebook berserta gambar-gambar kawasan yang dilanda banjir itu.

Pada Selasa, Dubai, yang merupakan pusat kewangan antarabangsa dilanda banjir kilat dengan kadar taburan hujan dilaporkan paling tinggi sejak 1949, iaitu sebelum pembentukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1971.

Laluan bagi penerbangan ke Dubai juga terpaksa dilencongkan semalam buat sementara waktu. Beberapa negeri merekodkan kadar hujan hampir setahun, hanya dalam masa sehari.

Sementara itu, aplikasi X bagi Dubai Media Office memuat naik gambar-gambar pembersihan giat dijalankan di seluruh bandar hari ini.

Air di beberapa kawasan masih belum surut.

Sementara itu, media sosial sejak semalam dipenuhi dengan hantaran mengenai banjir di Dubai, malah video-video mengenai banjir itu mengejutkan ramai.

Ramai yang meluahkan rasa terkejut dan tidak kurang pula yang memuat naik gambar orang ramai terkandas di Lapangan Terbang Dubai, yang merupakan antara lapangan terbang tersibuk di dunia. – 17 April, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Worrying number of youth spending 18 hours on social media daily: MCMC 

The Malaysian Communications and Multimedia Commission has drawn attention to the substantial number of young individuals who spend extended periods online, expressing concerns about harmful aspects of specific social media platforms. 

Taib Mahmud: a life of controversies and political intrigue

The diminutive and flamboyant Tun Abdul Taib Mahmud has left an indelible mark on Sarawak and the country, seeing that he was its chief minister for 33 years and later, the governor for nearly a decade.

PayNet confirms DuitNow QR code transaction fee for merchants starting Oct 1

In a statement on the matter, PayNet, the operator of DuitNow QR, clarified that the fee follows the lifting of a waiver on the merchant discount rate, which is charged based on a percentage of the payment transaction value.  

◉ Related