◉ HEADLINES

Bakal jemaah haji OKU syukur dipilih jadi tetamu Allah

Mereka antara 31,600 jemaah haji dari Malaysia yang terpilih tahun ini

10:32 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Abdul Samad MM Abdul Aziz, 53, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan bersyukur dan teruja apabila dipilih seorang daripada 31,600 jemaah haji dari Malaysia tahun ini.

Abdul Samad yang memiliki empat cahaya mata berkata ujian yang dihadapinya itu bukan penghalang untuk menjadi tetamu Allah dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 15 Mei ini.

“(Persiapan) mental insya-Allah okey sebab saya pernah menunaikan umrah pada 2019 bersama-sama keluarga, jadi sudah ada asas. Saya juga buka YouTube setiap hari bagi mendengar pengalaman-pengalaman orang yang dah pergi (haji) dan ceramah-ceramah ustaz. 

“Peluang seperti ini mungkin seumur hidup sekali sahaja, jadi kena jaga… betul-betul lakukan ibadah itu,” katanya yang bekerja sebagai tukang urut kepada Bernama. 

Menurut Abdul Samad dia akan menunaikan rukun Islam kelima itu bersama-sama isterinya, Ani Sharani Jemiran, 51, yang juga OKU penglihatan serta bekas guru sekolahnya dan isteri sebagai pengiring mereka berdua.

Seorang lagi bakal jemaah haji, Rabbi’ah Beve, 28, yang merupakan OKU fizikal turut teruja apabila berpeluang ke Tanah Suci.

“Saya mendaftar untuk menunaikan haji sejak 2008 semasa di bangku sekolah, namun apabila dapat surat tawaran baru-baru ini, ada sedikit rasa gementar apabila memikirkan ilmu agama di dada masih belum mencukupi. 

“Alhamdulillah, dengan bantuan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) yang menyediakan kursus asas haji dan kursus intensif haji, saya mendapat banyak ilmu dan gambaran sebenar cara menunaikan haji melalui penerangan dan amali,” katanya. 

Rabbi’ah yang merupakan seorang pengatur cara di sebuah badan bukan kerajaan turut memuji sikap ditunjukkan petugas TH yang prihatin dengan keperluan dan kebajikan bakal jemaah haji OKU sepertinya. 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata agensi itu sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan setiap bakal jemaah haji khususnya golongan warga emas  dan OKU. 

“TH membenarkan seorang pengiring atau pembantu bagi memastikan jemaah OKU akan sentiasa ditemani waris atau keluarga sepanjang melaksanakan ibadat haji. TH juga menyediakan al-Quran Braille untuk kegunaan jemaah OKU penglihatan. 

“Usaha-usaha TH dalam menyediakan persekitaran mesra OKU diteruskan setiap tahun termasuk dari segi pertolongan daripada petugas dan sahabat maktab untuk memudahkan perjalanan mereka,” katanya menambah Kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024. – 30 April, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Worrying number of youth spending 18 hours on social media daily: MCMC 

The Malaysian Communications and Multimedia Commission has drawn attention to the substantial number of young individuals who spend extended periods online, expressing concerns about harmful aspects of specific social media platforms. 

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Taib Mahmud: a life of controversies and political intrigue

The diminutive and flamboyant Tun Abdul Taib Mahmud has left an indelible mark on Sarawak and the country, seeing that he was its chief minister for 33 years and later, the governor for nearly a decade.

◉ Related