◉ HEADLINES

Yang di-Pertua Dewan Negara, Mutang Tagal meninggal dunia

Mutang telah menerima rawatan di IJN sebaik sahaja kembali dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi

1:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal telah meninggal dunia pada jam 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.

Perkara itu disahkan oleh pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara dalam kenyataannya hari ini.

Mutang, 70, telah menerima rawatan di IJN setibanya di tanah air pada Isnin lalu, selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Azerbaijan.

“Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian,’’ kata kenyataan tersebut.

Mutang dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan mengangkat sumpah jawatan pada 19 Februari lalu.

Beliau merupakan suku kaum Lun Bawang dari Lawas di utara Sarawak dan seorang pengamal undang-undang.

Beliau menggantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan pada 26 Januari lalu.

Dilahirkan pada 5 Oktober 1954, beliau berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990.

Beliau adalah Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak dari 1982 hingga 1990.

Mutang adalah adik kepada bekas Menteri Muda Komunikasi Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pertama Ba’Kelalan, Mendiang Datuk Judson Sakai Tagal yang maut dalam nahas helikopter di hutan tebal Ba’Kelalan pada 12 Julai 2004.

Mendiang yang meninggalkan seorang isteri, Datin Ho May Leng dan tiga anak, mempunyai latar belakang pendidikan serta menjalankan praktis di dalam bidang perundangan.

“Keluarga mendiang Senator Datuk Mutang Tagal mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam menghadapi masa yang sukar ini,’’ kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merakamkan ucapan takziah dan sedih di atas pemergian Mutang.

Beliau turut mengimbas pengalaman bekerja bersama Mutang dan memberitahu mendiang merupakan seorang pemimpin kebanggaan etnik Lun Bawang yang komited dalam usaha reformasi institusi Parlimen.

“Beliau juga seorang pemimpin yang amat prihatin akan kebajikan rakyat Malaysia dan pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada semua.

“Saya mewakili seluruh Parlimen berharap agar keluarga mendiang diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi saat yang memilukan ini,’’ katanya. – 10 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related