◉ HEADLINES

Pasukan petugas ditubuh pantau, selenggara pokok teduhan di ibu negara

Penubuhan pasukan itu akan melibatkan penyertaan pemegang taruh seperti badan bukan kerajaan, arboris (pakar tumbuhan berkayu) dan pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

8:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah membentuk pasukan petugas dalam waktu terdekat untuk memantau secara terperinci dan menyelenggara pokok-pokok teduhan di sekitar ibu negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata penubuhan pasukan itu akan melibatkan penyertaan pemegang taruh seperti badan bukan kerajaan, arboris (pakar tumbuhan berkayu) dan pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Beliau berkata pasukan itu juga boleh mendapatkan maklumat serta kerjasama pakar atau meneroka sistem penanaman dan penyelenggaraan pokok secara mapan dari luar negara.

“Pasukan ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Bagi langkah jangka pendek, kita sudah arahkan untuk menebang pokok-pokok yang dikenal pasti berisiko tumbang.

“Bagi langkah jangka panjang, kita perlu menilai semula semua aspek penanaman pokok teduhan termasuk spesies pokok, lokasi dan keluasan tanah sesuai selain tempoh pemantauan pokok yang sebelum ini dibuat setiap dua tahun, kita akan buat secara lebih kerap selepas ini,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat berhubung kolam tadahan banjir (KTB) Kampung Bohol di sini hari ini.

Mengulas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap pohon yang terpaksa ditebang digantikan dengan 100 pokok baharu, Dr Zaliha berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada pakar tumbuhan bagi mengenal pasti jenis pokok, lokasi serta jumlah yang sesuai untuk ditanam.

Pada 7 Mei lepas, kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail. 

Terbaharu pada 13 Mei lalu, sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang menyebabkan sebuah kenderaan polis pengiring Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof mengalami kerosakan. – 16 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Education Ministry scraps teacher training system to lighten workload

Minister Fadhlina Sidek vows to help teachers focus on what matters most – teaching – as new curriculum changes approach

What the pork!? – Rocky Bru

Rocky Bru reflects on a surprise in-flight warning about Malaysia’s pork import ban, tracing its public health roots and the politics of pig farming through a seasoned traveller’s lens

◉ Related