◉ HEADLINES

Siti Bainun tarik balik rayuan tangguh hukuman penjara 12 tahun

Pengasas Rumah Bonda itu menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down

4:23 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, tiga tahun lepas.

Peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini bahawa pihaknya mendapat arahan daripada Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk menarik balik notis rayuan itu.

“Pihak kami juga mendapat arahan anak guam (Siti Bainun) untuk memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman di Mahkamah Tinggi,” katanya dan memaklumkan rayuan itu kini bersifat akademik atau tidak lagi relevan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa tidak membantah penarikan balik rayuan tersebut.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin kemudian membatalkan rayuan berkenaan.

Siti Bainun memfailkan rayuan itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache pada 23 Mei tahun lepas, menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun apabila mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, pada 2 Mei lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2023.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu serta-merta, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.

Wanita itu kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. – 20 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

QSR Brands records 31% revenue growth in KFC and Pizza Hut Malaysia for FY2025

QSR Brands (M) Holdings Bhd announced a 31% revenue increase in its core businesses, KFC Malaysia and Pizza Hut Malaysia, for the financial year 2025, reflecting the successful execution of its strategic transformation roadmap and disciplined focus on operational efficiency, innovation and sustainable growth

◉ Related