◉ HEADLINES

Selepas seminggu hilang ketika daki bukit, lelaki ditemui selamat

Azfar ditemui oleh nelayan tempatan di kawasan paya bakau dekat jeti nelayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan

6:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas seminggu hilang ketika mendaki Bukit Hill Top Batu Kawan di Pulau Pinang, akhirnya seorang lelaki, Muhammad Azfar Ismail, 29, ditemukan selamat pada 2 petang tadi.

Azfar ditemui oleh nelayan tempatan di kawasan paya bakau dekat jeti nelayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penemuannya disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Chong Boo Khim yang memaklumkan ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan keletihan dengan sedikit kesan calar di tangan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk menerima rawatan.

Punca kehilangannya, kata beliau, masih belum diketahui dan polis akan mengambil keterangan mangsa sebaik keadaannya stabil nanti.

“Laporan kehilangan mangsa telah dibuat abangnya pada 19 Mei lepas yang memaklumkan adiknya telah mendaki di bukit Batu Kawan pada 5 petang, 18 Mei.

“Mangsa dikatakan sudah biasa mendaki bukit di situ, jadi bila dia tidak balik ke rumah, abangnya telah membuat laporan pada keesokannya,” katanya kepada media.

Susulan kehilangan Azfar pada 18 Mei lalu, operasi mencari Azfar dilancarkan oleh pelbagai pihak termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung selain turut menggerakkan unit K9 bomba untuk mencari mangsa.

Malah solat hajat turut diadakan oleh penduduk kampung. – 22 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Malaysia risks missing World Cup 2026 as pressure mounts for Free-to-Air broadcast deal

Analysts urge urgent government intervention to secure accessible coverage of the FIFA World Cup 2026, warning that cost barriers could sideline fans and weaken the nation’s football culture

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related