◉ HEADLINES

Kemelut Parallel Pathway bakal selesai dengan pembentangan RUU di Parlimen

Menurut Fahmi, satu memorandum bersama oleh Menteri kesihatan dan Menteri Pendidikan Tinggi telah dibentangkan dan diputuskan

4:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Program Latihan Ijazah Kepakaran (Parallel Pathway) akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang bagi menyelesaikan kemelut berkaitan isu tersebut.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Dan satu memorandum bersama oleh Menteri kesihatan dan Menteri Pendidikan Tinggi telah dibentangkan dan diputuskan.

“Maka isu parallel pathway kita lihat akan dapat diatasi dengan pembentangan satu RUU yang akan dibawa ke Parlimen.

“Kita harap sekiranya semua berjalan lancar, ia akan dibawa ke Parlimen, sama ada sidang akan datang ataupun selepas itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau sudah memberi taklimat awal kepada Kabinet pada 29 Mei lalu bagi program yang ditawarkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.

Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga akan membentangkan cadangan menyeluruh dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang (hari ini).

Selain UiTM yang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik) – (Parallel Pathway), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan perakuan akreditasi untuk program yang sama sebelum ditawarkan.

“Isu pokok yang timbul berkaitan dengan kemelut Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ dalam bidang pembedahan kardiotorasik ialah isu pengiktirafan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kedua, isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran ‘ParallelPathway’ dalam Daftar Pakar (National Specialist Register – NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC),” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, perincian lanjut berhubung RUU yang akan dibentangkan itu perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Saya ada sebut sebelum ini, isu pokok di sini melibatkan bidang kuasa antara dua badan iaitu MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) dan MMC (Majlis Perubatan Malaysia).

“Jika kita bawa pindaan ke Parlimen, ia akan membantu menyelesaikan isu tersebut. Jadi kita perlu tunggu sehingga rang undang-undang itu dibentangkan.

“Saya tak boleh dedahkan melainkan anda dapatkan (perinciannya) daripada Menteri Kesihatan atau Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya. – 5 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related