◉ HEADLINES

Genap 2 bulan bapa pergi, adik menyusul: Abang mangsa nahas bas

Anak ketujuh itu berkata dia menerima berita kejadian yang menimpa adiknya kira-kira pukul 5.30 pagi tadi oleh pemilik bas berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian

9:38 PM MYT

 

ROMPIN — Genap dua bulan pemergian bapa, kini Zaki Mad Idris, 39, terpaksa berdepan berita duka sekali lagi apabila kehilangan adiknya Hadi Asyraf, 29, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan – Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi. 

Anak ketujuh itu berkata dia menerima berita kejadian yang menimpa adiknya yang masih bujang itu kira-kira pukul 5.30 pagi oleh pemilik bas berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama isterinya. 

Kali terakhir Zaki bertemu Hadi Asyraf yang merupakan anak bongsu daripada 12 beradik itu ketika kenduri arwah bapa mereka Mad Idris Mad Said bulan lepas. 

“Genap dua bulan arwah ayah kami pergi, kini adik menyusul, tarikh kematian sama iaitu pada 9 hari bulan, ayah 9 April adik pula 9 Jun,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Muadzam Shah dan memaklumkan jenazah adiknya akan dikebumikan di Kampung Padang Temu, Melaka.

Sementara itu, mangsa cedera Farouq Saifullizan, 12, yang juga anak kepada Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang maut dalam kemalangan itu berkata ketika kejadian, dia sedang tidur dan dikejutkan dengan hentaman kuat. 

“Saya tiba-tiba ke depan dan sedar-sedar dah tercampak keluar dan tengok bas di cerun jalan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu yang mengalami kecederaan di bahagian muka. 

Jenazah Hasnatul Adilah akan dikebumikan di Kampung Ramuan China Besar, Melaka manakala seorang lagi mangsa yang terkorban Hamzah Ahmad, 60, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, Melaka. 

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman memaklumkan setakat 3 petang tadi, 25 mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala tiga lagi berada di zon merah Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Beliau berkata tujuh pesakit dirawat di zon kuning beberapa hospital dan seorang mangsa dalam pemerhatian di zon hijau Hospital Muadzam Shah. 

Dalam kejadian itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. – 9 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

◉ Related