◉ HEADLINES

PRK Sungai Bakap: Umno yakin tiada ahli boikot calon PH

Pemahaman lebih 5,000 ahli Umno sebagai pengundi di Sungai Bakap mengenai kerjasama parti dalam kerajaan juga semakin bertambah baik

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Umno Pulau Pinang yakin ahli parti itu tidak akan memboikot calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada hari pengundian, 6 Julai ini.

Malah Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, mereka akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon berkenaan bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut.

Bercakap kepada Scoop, beliau memberitahu, pemahaman lebih 5,000 ahli Umno sebagai pengundi di Sungai Bakap mengenai kerjasama parti dalam kerajaan juga semakin bertambah baik.

“Kita buat sesi program ziarah ahli setiap pusat daerah mengundi (PDM) termasuk dengan kepimpinan negeri, kita beri penjelasan kepada mereka.

“Selama ini kita tak ‘counter’ mereka untuk memberi penjelasan dan pemahaman, malah dengan akses kepada maklumat semakin mudah dan cepat, jadi banyak yang hadam tanpa usul periksa.

“Alhamdulillah mereka semakin hari semakin memahami, kita pun tak boleh dengan mudahnya label satu kawasan itu ‘putih’ atau ‘hitam’ bagi Umno, namun apa yang boleh kita jamin setakat ini, tidak akan ada boikot lagi dalam kalangan ahli,” katanya hari ini.

Sebelum ini Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno akan berusaha menarik seramai mungkin pengundi ‘putihnya’ termasuk ahli parti itu bagi memberi sokongan kepada calon PH.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, pihaknya akan memastikan tiada boikot daripada ahli parti itu kepada calon terbabit selepas gabungan itu tidak bertanding di kerusi berkenaan.

“Terdapat lapan PDM dan Umno mempunyai ahli yang menjadi pengundi berjumlah 5,105 orang. Jadi, tumpuan kita ialah pengundi Umno di samping kita cuba menarik pengundi Melayu untuk mengundi calon (Kerajaan Perpaduan),” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad berkata, pengundi di Sungai Bakap perlu memilih wakil rakyat yang selari dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri agar segala bantuan dapat disalurkan secara terus kepada rakyat.

“Pengundi di Sungai Bakap kena pilih calon Kerajaan Perpaduan kerana kalau kita lihat dari segi calon, kelebihan yang ada pada Kerajaan Perpaduan ini adalah apabila menang mereka bersama dengan kerajaan.

“Mereka mempunyai peruntukan dan boleh memberikan bantuan kepada seluruh penduduk di Sungai Bakap.

“Kalau mereka memilih calon di sebelah sana (pembangkang) sudah pasti mereka pun sudah biasa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lepas yang tiada peruntukan.

“Takkan kali ini mereka hendak buat kesilapan sama dengan memilih Adun yang tidak mempunyai peruntukan dan tidak bersama dengan kerajaan negeri mahupun Persekutuan?” Soalnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tahun lalu, Perikatan Nasional (PN) menerusi calon daripada PAS menewaskan calon PH dengan majoriti 1,563 undi.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. – 28 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Worrying number of youth spending 18 hours on social media daily: MCMC 

The Malaysian Communications and Multimedia Commission has drawn attention to the substantial number of young individuals who spend extended periods online, expressing concerns about harmful aspects of specific social media platforms. 

Penang’s shores in peril: a deadly mix of climate change and coastal development”

Rising sea levels, erratic weather, and unchecked development are driving coastal erosion to alarming new heights in Penang, threatening both nature and livelihoods.

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

◉ Related