◉ HEADLINES

Najib fail permohonan di Mahkamah Rayuan cabar kewujudan titah addendum

Berdasarkan sistem e-filing mahkamah, rayuan itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Oktober ini

9:23 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah addendum didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Peguam Najib iaitu Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi memaklumkan Bernama bahawa notis rayuan telah difailkan pada 9 Julai lepas.

Berdasarkan sistem e-filing mahkamah, rayuan itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Oktober ini.

Pada 3 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden termasuk kerajaan bagi mencabar kewujudan titah addendum.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas berpendapat empat afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Menerusi permohonan bagi kebenaran yang difailkan pada April lepas, Najib, 70, memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari tahun ini.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, kesemua atau satu daripada responden harus menguatkuasakan ia serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 2 September 2022, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 16 Julai, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Worrying number of youth spending 18 hours on social media daily: MCMC 

The Malaysian Communications and Multimedia Commission has drawn attention to the substantial number of young individuals who spend extended periods online, expressing concerns about harmful aspects of specific social media platforms. 

Penang’s shores in peril: a deadly mix of climate change and coastal development”

Rising sea levels, erratic weather, and unchecked development are driving coastal erosion to alarming new heights in Penang, threatening both nature and livelihoods.

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

◉ Related