◉ HEADLINES

DBKL perlu hadkan jumlah peniaga berdasarkan populasi penduduk, kata persatuan penjaja

Persatuan tersebut berkata, ada tempat tertentu sedang mengalami lebihan peniaga dan mereka menawarkan barang serta perkhidmatan yang sama kepada pengguna

9:30 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengehadkan bilangan peniaga berdasarkan jumlah penduduk di setiap kawasan Parlimen bagi mengelakkan persaingan tidak sihat dalam perniagaan.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (G3PM) Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, ada tempat tertentu yang sedang mengalami lebihan peniaga dan mereka menawarkan barangan serta perkhidmatan yang sama kepada pengguna.

Justeru beliau menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan bancian bagi mengenal pasti bilangan penduduk di kawasan-kawasan Parlimen di bawahnya dan inisiatif itu perlu diterajui oleh Datuk Bandar baharu, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

“Ketidakseimbangan antara jumlah peniaga dengan penduduk di dalam sesuatu kawasan Parlimen akan membawa kepada ketidakseimbangan (bekalan dan permintaan), sekali gus menyebabkan persaingan yang tidak sihat antara peniaga,’’ katanya pada sidang media di sini hari ini.

“Ia akan menyebabkan perniagaan terjejas malah operasinya tidak akan berkembang dan mereka juga tidak akan dapat meningkatkan pendapatan,’’ tambahnya.

Sebagai contoh, kata Rosli, kawasan Bukit Bintang, di mana ia menjadi lokasi utama peniaga kini tetapi tiada statistik mengenai jumlah penduduk di situ.

Selain itu, Rosli turut menggesa Maimunah mengambil tindakan berterusan bagi membendung peniaga asing di ibu kota yang didakwanya semakin meningkat.

“Masalah dengan warga asing (yang menjalankan perniagaan di sini) tidak selesai sejak bertahun-tahun. Dari segi pendapatan harian, peniaga tempatan (di Kuala Lumpur) mendapat kurang daripada RM100 sehari.

“Kalau dahulu mereka boleh menyimpan RM3,000 sebulan, namun sekarang dengan situasi ekonomi yang meruncing dan kebanjiran warga asing, peniaga tempatan sukar untuk bertahan,’’ katanya.

Beliau menambah, tindakan penguatkuasa ke atas peniaga tempatan yang melanggar undang-undang hanya akan berkesan sekiranya tindakan lebih tegas diambil ke atas warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram di sini.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, DBKL telah melaksanakan beberapa tindakan keras ke atas premis haram, termasuk yang dikendalikan oleh warga asing.

Operasi khas itu termasuk serbuan, rampasan barang dan pengeluaran kompaun ke atas perniagaan haram. – 19 Ogos, 2024

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Education Ministry scraps teacher training system to lighten workload

Minister Fadhlina Sidek vows to help teachers focus on what matters most – teaching – as new curriculum changes approach

What the pork!? – Rocky Bru

Rocky Bru reflects on a surprise in-flight warning about Malaysia’s pork import ban, tracing its public health roots and the politics of pig farming through a seasoned traveller’s lens

◉ Related