◉ HEADLINES

Keputusan berhubung representasi Rosmah untuk gugurkan pertuduhan diketahui 6 September

Dua belas daripada pertuduhan itu berkaitan pengubahan wang haram yang melibatkan lebih RM7 juta, manakala lima lagi pertuduhan berkaitan kegagalannya mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN

1:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan berhubung representasi ketiga yang dikemukakan oleh isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 17 pertuduhan yang dihadapinya, akan diketahui pada 6 September.

Dua belas daripada pertuduhan itu berkaitan pengubahan wang haram yang melibatkan lebih RM7 juta, manakala lima lagi pertuduhan berkaitan kegagalannya mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu hakim perbicaraan K. Muniandy bahawa satu persetujuan telah dicapai berhubung representasi yang dihantar oleh anak guamnya itu, dan kini hanya menunggu kertas kerja untuk dimuktamadkan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam responsnya mengesahkan bahawa representasi itu sudah hampir dimuktamadkan.

“Ia hanya menunggu dokumentasi sebelum kita boleh teruskan dengan perintah mahkamah,” katanya.

Muniandy kemudian menetapkan 6 Sept bagi kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai keputusan muktamad.

Ini merupakan representasi ketiga yang dihantar oleh Rosmah, 72. Representasi pertama dan keduanya dihantar masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lepas, namun ia masih belum diputuskan oleh AGC.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menfailkan pernohonan untuk dibebas dan dilepaskan daripada semua 17 pertuduhan itu pada 4 Okt 2020.

Rosmah, 72, didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Setakat ini dua saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan, yang bermula pada 24 Ogos tahun lepas. – 23 Ogos, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

MACC probes IJM over alleged RM2.5bil money laundering scheme, Sunway takeover at risk

The Malaysian Anti-Corruption Commission is probing IJM Corporation over alleged money laundering and possible share price manipulation involving RM2.5bil, a probe that could jeopardise Sunway Group’s proposed RM11.5bil takeover of the construction giant

Jakim, Islamic affairs get RM2 bil under Budget 2025

This includes maintenance for educational infrastructure under dept, increased Kafa teacher quota, rehabilitation for GISB kids

◉ Related