◉ HEADLINES

Tukar kenyataan sokong Jakim, Bersatu dakwa Teresa Kok cuba ‘selamatkan diri’

Razali Idris mendakwa kenyataan Teresa adalah satu percubaan yang lemah dan tidak berasas untuk menjustifikasikan tindakan beliau menentang cadangan pensijilan halal mandatori

3:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Adakah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok cuba melepaskan diri selepas berdepan siasatan polis dalam isu pensijilan halal dengan mengeluarkan kenyataan menyokong Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), demikian soal parti Bersatu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kenyataan terbaharu Naib Pengerusi DAP itu jauh bercanggah dengan kenyataan asalnya yang secara terang-terangan mengkritik cadangan mewajibkan pensijilan halal dan menyifatkan ia sebagai beban tambahan kepada perniagaan.

“Setiausaha Publisiti DAP itu kini cuba ‘menyelamatkan diri’ dengan memutar belit kenyataan asal untuk mengurangkan kontroversi yang timbul.

“Beliau kini sepertinya amat takut untuk didakwa kerana jika disabitkan kesalahan ini akan boleh menghilangkan jawatan Ahli Parlimennya selain memberikan imej semakin negatif kepada partinya iaitu DAP,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Teresa akan memberikan keterangan berhubung isu pensijilan halal pada jam 10 pagi esok di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.

Razali turut mempersoalkan dakwaan Teresa kononnya hanya menyuarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum di kawasan Parlimen yang diwakilinya dalam mengutarakan isu pensijilan halal.

Kenyataan Teresa itu, dakwanya adalah satu percubaan yang lemah dan tidak berasas untuk menjustifikasikan tindakan beliau menentang cadangan pensijilan halal mandatori.

“Hakikatnya, dalam kenyataan asal beliau, tiada sebarang bukti atau petunjuk yang menunjukkan isu tersebut dirujukkan kepada pengundi atau rakyat yang diwakilinya.

“Sebaliknya, kenyataan Teresa Kok kelihatan lebih kepada mencerminkan pendapat beliau atau parti beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata, jika benar sekali pun ia adalah suara hati rakyat, isu-isu sensitif yang menyentuh 3R (agama, kaum dan raja) seperti pensijilan halal perlu dibawa melalui saluran yang betul, bukan membuat kenyataan terbuka yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Ringkasnya, kenyataan terbaru Teresa Kok ini hanya menunjukkan percubaan terdesak beliau untuk menutup ruang daripada didakwa atas kenyataan asalnya yang menentang cadangan pensijilan halal mandatori.

“Saya setuju Teresa Kok wajar didakwa di mahkamah dengan secepatnya kerana kenyataannya ini telah menyentuh sensitiviti agama, mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini,” katanya. – 9 Setember, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

MACC probes IJM over alleged RM2.5bil money laundering scheme, Sunway takeover at risk

The Malaysian Anti-Corruption Commission is probing IJM Corporation over alleged money laundering and possible share price manipulation involving RM2.5bil, a probe that could jeopardise Sunway Group’s proposed RM11.5bil takeover of the construction giant

Jakim, Islamic affairs get RM2 bil under Budget 2025

This includes maintenance for educational infrastructure under dept, increased Kafa teacher quota, rehabilitation for GISB kids

◉ Related