◉ HEADLINES

Sultan Selangor titah semua rumah amal, sekolah GISB tidak berdaftar di negeri itu segera ditutup

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda kesal dan kecewa kerana perkara itu telah berlanjutan bagi tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara berkenaan

4:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya.

Sehubungan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiayai.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga digesa untuk mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ia menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama lslam yang sebenar,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah menurut laporan yang diterima, kebanyakan rumah amal di bawah pengawalan GISBH yang disiasat, telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya negeri Selangor tanpa pendaftaran seperti keperluan undang-undang.

Sultan Selangor bertitah baginda kesal dan kecewa kerana perkara itu telah berlanjutan bagi tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara berkenaan.

Baginda bertitah kelewatan menangani perkara itu menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya, sehingga menyebabkan perkara tersebut menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

“Menyedari isu yang berlaku, ini satu perkara yang serius serta melibatkan umat Islam di negara ini, Beta telah memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Polis Selangor dan beberapa anggota MAIS dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap dan mengenal pasti langkah-langkah segera yang perlu diambil bagi menangani perkara ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah berikutan mesyuarat itu, baginda telah menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama pihak Polis Diraja Malaysia (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman), bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam.

Tindakan itu bagi memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah berkenaan diheret ke mahkamah dan didakwa.

Sultan Selangor turut memberi peringatan kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa agama untuk memandang serius mengenai isu berkaitan tindak-tanduk kumpulan GISBH, terutama melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.

Sultan Selangor bertitah semua perbuatan jenayah serius yang dikaitkan dengan GISBH berdasarkan hasil siasatan polis, telah mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.

“Pelbagai keterangan telah ditemukan yang menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah yang disyaki telah dilakukan seperti penderaan terhadap para pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat dilakukan di beberapa buah rumah amal, termasuk sekolah agama Islam di bawah pengawalan GISBH,” titah baginda.

Baginda bertitah tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama lslam.

“Beta tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai ‘tin kosong’, yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.

“Kita hendaklah berpegang kepada prinsip walk the talk or putting your words into action. Di samping itu Beta juga menyeru agar semua agensi penguat kuasa agama dan pihak polis, agar menjalankan penyiasatan dengan telus dan sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah kesalahan berhubung dengan amalan yang bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISBH.

Justeru, Sultan Sharafuddin menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama atau pusat penjagaan amal, agar menyemak latar belakang sesebuah sekolah atau pusat penjagaan amal tersebut supaya mereka tidak terjebak dengan sekolah dan pusat jagaan yang tidak berdaftar dan melaksanakan program dan pembelajaran yang meragukan.

“Ini adalah untuk memastikan anak-anak tersebut dididik dan dijaga dengan sewajarnya serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi terhadap anak-anak tersebut.

“Ingatlah bahawa anak-anak tersebut adalah suatu amanah daripada Allah SWT dan ibu bapa serta penjagalah yang bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak tersebut,” titah baginda.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor serta Negeri Sembilan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun. – 21 September, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

◉ Related