◉ HEADLINES

Persatuan terbabit kartel umum harga barang, perkhidmatan jangka naik disiasat: MyCC

Pengumuman itu boleh dikategorikan sebagai perjanjian antipersaingan atau kartel kerana ia mencerminkan suatu keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang pada masa sama adalah pesaing-pesaing dalam industri

3:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuka kertas siasatan terhadap beberapa persatuan serta ahli jawatankuasanya kerana disyaki terbabit dalam perlakuan kartel dengan mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan dan barangan.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, pihaknya memperoleh maklumat di lapangan, media utama dan platform media sosial yang menunjukkan bahawa ada persatuan melalui ketuanya melakukan pengumuman jangkaan kenaikan harga di masa hadapan.

“Pengumuman itu sebenarnya adalah cubaan untuk mengaburi mata rakyat dan ia keputusan persatuan yang berbaur kartel.

“Ia juga dilihat sebagai keputusan rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana sudah melanggar undang-undang persaingan.

“MyCC kesal terhadap tindakan terkini beberapa persatuan yang mengumumkan kenaikan harga atau menetapkan harga minimum perkhidmatan atau barangan termasuk mengenakan syarat perdagangan baru yang didapati memberi kesan negatif secara langsung kepada kos sara hidup rakyat.

“Ia amat membimbangkan kerana membabitkan sektor-sektor penting antaranya pengangkutan, perkhidmatan jagaan, kesihatan, dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengumuman itu boleh dikategorikan sebagai suatu perjanjian antipersaingan atau kartel kerana ia mencerminkan suatu keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang pada masa sama adalah pesaing-pesaing dalam industri.

“Ia juga boleh dikategorikan sebagai isyarat daripada persatuan kepada ahli-ahlinya dalam menyebar luas keputusan yang ditetapkan dengan tujuan untuk memastikan ahli-ahli menjayakan perlakuan kartel secara bersepadu,” katanya.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, MyCC akan kekal komited, tanpa gentar atau pilih kasih, untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan wujudnya persaingan sihat dalam pasaran.

“Melalui pindaan Akta Persaingan 2010 yang akan dibentangkan pada awal tahun depan, kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC akan diperkasakan lagi untuk memastikan perilaku sabotaj ekonomi seperti ini ditangani dengan lebih efektif melalui penalti yang lebih berat.

“MyCC mengalu-alukan kerjasama daripada ahli jawatankuasa atau ahli-ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan persatuan yang mengamalkan perlakuan kartel.

“Orang awam termasuk agensi-agensi kerajaan yang mempunyai maklumat mengenai sebarang cubaan atau tindakan yang menjurus kepada pembentukan kartel oleh persatuan-persatuan di bawah seliaan mereka.

“Maklumat itu disalurkan melalui saluran rasmi iaitu https://www.mycc.gov.my/bm/membuat-aduan atau emel ke [email protected] untuk tindakan lanjut,” katanya. – 21 Disember, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Penang’s shores in peril: a deadly mix of climate change and coastal development”

Rising sea levels, erratic weather, and unchecked development are driving coastal erosion to alarming new heights in Penang, threatening both nature and livelihoods.

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

What does AGC say about withdrawing police reports? – Hafiz Hassan 

According to its e-Participation Policy portal, complainant may submit an application so no action taken on lodged report but decision lies with public prosecutor

◉ Related