◉ HEADLINES

Lawatan Anwar ke Perancis berpotensi jana pelaburan RM4 bilion: Zaiful

Selain potensi menjana pelaburan RM4 bilion, lawatan itu juga membuka peluang eksport sebanyak RM675 juta untuk sektor berimpak tinggi

12:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM4 bilion daripada syarikat-syarikat Perancis, susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata, Anwar telah menemui 40 wakil industri Perancis sempena lawatan tersebut.

Beliau memberitahu, wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut serta dalam delegasi Malaysia yang diketuai oleh Anwar.

“Beberapa syarikat Perancis telah menyatakan hasrat untuk melabur dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4 bilion dalam sektor seperti pembuatan berteknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital serta infrastruktur mampan.

“Bagi potensi eksport pula, sebanyak RM675 juta telah dijana untuk sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh diperbaharui, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan industri halal,” katanya.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil dari 1 hingga 8 Julai.

Menerusi hantaran di Facebook semalam, Anwar berkata kunjungan ke Perancis telah mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama strategik yang lebih meluas antara dua negara sahabat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, semua sektor itu merupakan sektor yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan strategi pelaburan hijau.

“Syarikat-syarikat tersebut berkongsi hasrat untuk terus melabur di Malaysia, didorong oleh faktor-faktor utama seperti ekosistem pelaburan yang kondusif, stabil dan dinamik; permintaan global yang menggalakkan terhadap produk buatan Malaysia; rantaian bekalan domestik yang cekap; tenaga kerja berkemahiran tinggi; serta dasar kerajaan yang mesra pelabur,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pencapaian itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kukuh dan berdaya saing selain membuka peluang kepada syarikat tempatan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Ia juga mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia. Semua ini adalah elemen penting dalam menjayakan agenda transformasi ekonomi Madani kita,” katanya. – 6 Julai, 2025

Topics

 

◉ Hangat

PKR wants Aminuddin Harun retained as Negri MB: Anwar

PKR wants Datuk Seri Aminuddin Harun to be retained as Negri Sembilan Menteri Besar if the Pakatan Harapan-Barisan Nasional alliance wins the state elections next month.

Testing secrets, or trade restraint? Dispute over oilfield tech ends with quiet withdrawal

Intertek’s Malaysian unit alleged ex-staff misused proprietary water monitoring system, but defendants argued “Sidestream” method was common industry practice

Malaysia’s median wage hits RM2,864 in September 2025, youth wages see biggest jump: DOSM

Formal employee wages rise by 4.3%, with significant growth across age groups and sectors

◉ Related