◉ HEADLINES

PKR Ampang serah pucuk pimpinan tentukan kedudukan Tengku Zafrul sebagai calon PRU16

Ketua Cabang PKR Ampang berkata pihaknya menghormati proses pemilihan calon yang telus, adil dan mengambil kira pandangan semua peringkat

1:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PKR Ampang menyerahkan keputusan menentukan calon Ahli Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kepada pucuk pimpinan tertinggi parti, susulan nama Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disebut-sebut bakal mengisi kerusi itu nanti.

Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, masih terlalu awal untuk cabang berkenaan membuat sebarang keputusan mengenainya buat masa ini.

Sebelum ini, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan sudah diterima menjadi ahli PKR Cabang Ampang, selepas mengambil keputusan meninggalkan Umno Mei lalu.

Jelas Altimet, sebagai parti progresif, pencalonan di pilihan raya tidak terikat kepada alamat permastautin, lokasi cabang dianggotai atau jawatan dalam parti, seperti syarat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami menghormati proses pemilihan calon yang telus, adil dan mengambil kira pandangan semua peringkat.

“Fokus dicabang Ampang adalah memperkukuh gerak kerja di akar umbi, membela kebajikan rakyat serta memastikan agenda reformasi yang dibawa Perdana Menteri dan kepimpinan parti dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik BH hari ini.

Altimet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, cabang berkenaan sentiasa berpegang pada prinsip keterbukaan dan perpaduan dalam memperjuangkan agenda reformasi demi rakyat.

“Sehubungan itu, kami mengalu-alukan mana-mana individu, tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama menyertai PKR dalam usaha membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan progresif.

Sebelum ini, beberapa pihak membuat spekulasi bahawa Tengku Zafrul bakal dinamakan sebagai calon di Parlimen berkenaan pada PRU akan datang sebaik mengesahkan penyertaannya sebagai ahli PKR Ampang.

Penyandang Parlimen Ampang ketika ini adalah Rodziah Ismail yang sebelumnya menyertai kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan parti itu awal tahun ini yang sekali gus mungkin digugurkan atau dipindah ke kawasan lain.

Dikhabarkan juga berkemungkinan pilihan raya kecil (PRK) bakal diadakan di Parlimen berkenaan tahun ini bagi memberi laluan kepada Menteri MITI itu bertanding, berikutan tempoh penggal tetapnya sebagai Ahli Dewan Negara bakal berakhir hujung tahun ini. – 10 Ogos, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related