◉ HEADLINES

Wan Saiful menghadap Lembaga Disiplin Bersatu isu kumpul SD

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu yang mengesahkan langkah itu berkata beliau dijadual hadir memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin parti hari ini

3:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan, benar wujud usaha untuk mengumpul akuan bersumpah (SD) daripada ketua-ketua bahagian parti dalam cubaan mendesak perubahan kepimpinan menjelang mesyuarat agung tahunan Bersatu pada 9 September lalu.

Beliau bagaimanapun, mendakwa naratif itu diputar belit oleh pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar di sebaliknya.

“Bahagian tentang pengumpulan SD adalah benar, tetapi saya percaya pihak tertentu telah memutarbelitkan cerita tentang niat sebenar dan apa yang ingin dicapai.

“Biar saya berjumpa Lembaga Disiplin parti dan jelaskan kepada mereka terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

“Mengumpul SD (itu) betul. Yang itu saya rasa biar saya pergi Lembaga Disiplin dulu. Lepas itu baru saya boleh komen lanjut. Biar Lembaga Disiplin dulu dengar penjelasan,” katanya lagi.

Anggota parlimen Tasek Gelugor itu dihubungi media bagi mengesahkan kesahihan mesej Whatsapp yang tular mendakwa beliau dipanggil untuk hadir di hadapan badan disiplin Bersatu hari ini.

Menurut mesej itu, Wan Saiful disiasat di bawah Perkara 23 Perlembagaan Bersatu kerana didakwa terlibat dalam pengumpulan SD daripada pemimpin Bersatu ke arah peralihan kepimpinan – daripada presiden Datuk Seri Muhyiddin Yassin kepada timbalannya Datuk Sri Hamzah Zainudin.

Wan Saiful mengesahkan beliau dijadualkan hadir di hadapan lembaga itu pada tengah hari ini.

“Bukan seperti yang dimanipulasi sesetengah pihak dan ini akan diperjelaskan kepada Lembaga Disiplin. Saya akan jelaskan kepada Lembaga Disiplin. 

“Saya rasa Lembaga Disiplin ini ada, saya pun tidak tahu siapa ahli Lembaga Disiplin. Harap di kalangan mereka (buat) pertimbangan yang rasional,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan cubaan beberapa pemimpin parti untuk menekan Muhyiddin supaya menyerahkan teraju Bersatu kepada Hamzah.

Cubaan itu mendapat sokongan selepas kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu dikatakan menandatangani SD menyokong Hamzah.

Semasa ucapan dasar Muhyiddin di perhimpunan agung tahunan Bersatu kekecohan berlaku apabila beliau mendakwa terdapat komplot mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya.

Walau bagaimanapun, perhimpunan agung tahunan parti itu berakhir dengan kedudukan Muhyiddin terjamin apabila perwakilan sebulat suara meluluskan resolusi untuk menamakannya sebagai calon pilihan Perdana Menteri Bersatu. – 25 September, 2025

Topics

 

◉ Hangat

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

◉ Related