◉ HEADLINES

Anwar tempelak pihak pertikai jemput Trump, ‘guna platform Asean suarakan isu Palestin’

Anwar berkata Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Gaza dan Palestin

1:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak-pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan depan.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran.

Namun, tegasnya ia dilakukan dengan cara berstrategi malah Malaysia akan menggunakan platform Asean untuk terus menyuarakan isu Palestin.

“Malaysia lantang mempertahankan Palestin, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan.

“Sebab itu kita kena pandai berunding. Suara kita tetap menyatakan yang benar dan hak tetapi dengan cara bijaksana,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan, di Sandakan hari ini.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota Asean.

Anwar memberitahu, sikap segelintir pihak yang menolak hubungan dengan Amerika Syarikat menunjukkan mereka tidak mengambil kira kepentingan ekonomi dan negara, khususnya dalam sektor eksport produk berteknologi tinggi.

“Nilai eksport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat sahaja berbilion ringgit. Puluhan ribu rakyat bekerja dalam sektor itu. Kalau kita tolak bulat-bulat, yang rugi rakyat,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia sebuah negara kecil, kemampuan pentadbiran selain dasar luar dan corak diplomasi yang jelas dan terbuka telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa dihormati dunia.

Perkara itu, kata beliau jelas terbukti apabila Malaysia menjadi orang tengah dalam konflik serantau, termasuk di sempadan Thailand-Kemboja serta proses peralihan kemerdekaan Timor-Leste.

“Beberapa bulan lepas Presiden Xi Jinping datang, bulan depan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula datang. Mana ada banyak negara kecil dapat layanan begitu. Ini bukti dunia hormat Malaysia.

“Ketika ada konflik di sempadan Thailand-Kemboja, mereka minta Malaysia jadi orang tengah. Begitu juga Timor-Leste, dulu sebahagian daripada Indonesia, kini merdeka dan insya-Allah Oktober ini akan menjadi anggota Asean ke-11,” kata beliau. – 27 September, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

Government allocates RM5.9b for AI innovation: MCMC to lead national transformation drive

Malaysia is making a major push into the artificial intelligence era, with nearly RM6 billion allocated to strengthen research, development, and innovation in emerging technologies

Could Ronaldinho lace up again? Ravenna move sparks comeback rumours

Serie C club set to clarify deal involving the former Barcelona star in Miami

◉ Related