◉ HEADLINES

Anwar beri peringatan keras kepada Tiong, Motac berkait isu arak

Dasar kerajaan adalah tegas, tidak membenarkan minuman keras dihidang dalam acara rasmi

1:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peringatan keras telah diberikan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementeriannya berhubung isu arak yang dihidangkan pada majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar kerajaan tegas dan tidak membenarkan minuman keras dihidangkan dalam acara rasmi.

Menurutnya, walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menjelaskan bahawa minuman keras itu dihidangkan selepas selesai acara rasmi, namun ia masih di tempat dan majlis yang sama.

“Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak ulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah program berakhir, tetapi tidak wajar sama sekali.

“Dan bagi pihak kerajaan, saya akan peringatkan Jemaah Menteri dan seluruh Jentera Kerajaan supaya tidak cuai dalam isu ini,’’ katanya kepada media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan minuman keras dihidangkan dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Bagaimanapun, Tiong menafikan dakwaan Mas Emieyati dan memberitahu majlis tersebut merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta, manakala Tourism Malaysia hanya menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari.

Sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenainya, berkata perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi menyatakan pendirian Umno terhadap cadangan berkenaan.

Umno, katanya menolak sekeras-kerasnya tindakan menghidangkan minuman beralkohol pada majlis makan malam anjuran Tourism Malaysia yang dianggap tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

Jelasnya, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. – 7 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related