◉ HEADLINES

Kes abai Zayn Rayyan: Ismanira didapati bersalah

Permohonan untuk menangguhkan hukuman ditolak dan Ismanira dihantar ke Penjara Kajang serta-merta untuk jalani hukuman penjara

10:19 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, didapati bersalah hari ini oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lalu.

Mahkamah menerusi hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Ismanira, 30, di akhir pembelaan.

Syahliza pada 21 Julai lalu memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mahkamah kini ditangguhkan seketika bagi membolehkan pihak terbabit menyediakan hujahan mitigasi  bagi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.

Tertuduh didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi.

Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Hakim Syahliza dalam penghakimannya berkata Akta Kanak-Kanak 2021 tidak memperuntukkan tafsiran atau definisi bagi perkataan ‘’mengabaikan’” di bawah Seksyen 31(1)(a) akta tersebut, lapor Bernama.

Dalam hal ini, katanya mahkamah tidak terikat dengan tafsiran dan perspektif psikologi mana-mana organisasi atau pertuduhan sama ada sesuatu tindakan oleh seseorang tertuduh merupakan pengabaian atau tidak kerana ia ditentukan oleh fakta dan keterangan dalam sesuatu kes.

“Setelah mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan bersama eksibit yang telah dikemukakan serta mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes ini.

“Dengan ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes ini melampaui keraguaan munasabah terhadap tertuduh. Oleh yang demikian, tertuduh didapati bersalah sebagaimana pertuduhan,” kata hakim. – 31 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related