◉ HEADLINES

Saya hilang sahabat sejati, yang menemani waktu senang dan susah : Zahid

Zahid menyifatkan pemergian Bung Moktar sebagai kehilangan sahabat sejati, yang teguh berdiri di sisinya di waktu senang dan susah

8:40 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai kehilangan seorang sahabat sejati, yang begitu dekat di hati.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham adalah seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.

“Luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini.

“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru-baru ini Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.

Zahid juga berkata, seluruh saf kepimpinan Umno, BN dan seluruh rakyat khususnya di Negeri Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,’’ katanya. – 5 Disember, 2025. ‎

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

Government allocates RM5.9b for AI innovation: MCMC to lead national transformation drive

Malaysia is making a major push into the artificial intelligence era, with nearly RM6 billion allocated to strengthen research, development, and innovation in emerging technologies

Could Ronaldinho lace up again? Ravenna move sparks comeback rumours

Serie C club set to clarify deal involving the former Barcelona star in Miami

◉ Related