◉ HEADLINES

MB Perlis potong gaji RM3,000 demi rakyat

Langkah pemotongan gaji RM3,000 oleh Menteri Besar Perlis dan RM1,500 bagi EXCO baharu menjadi simbol kepimpinan berjiwa rakyat, dengan visi Bangkit, Bingkas dan Buat sebagai hala tuju negeri

12:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah memulakan langkah berani dengan mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 sebulan sebagai simbol pengorbanan demi menstabilkan ekonomi negeri dan rakyat.

Langkah itu turut melibatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dirombak dan dilantik selepas ini, dengan setiap seorang dikenakan pemotongan gaji RM1,500 sebulan.

Menurut Abu Bakar, keputusan tersebut dibuat sebagai tanda kesungguhan pentadbiran baharu untuk mengembalikan semula kekuatan ekonomi negeri kepada rakyat.

“Saya melihat begini, kita kena beri khidmat kita kepada negeri, kepada rakyat kerana ada rakyat di negeri ini yang sukar untuk mencari wang sekurang-kurangnya RM500 sebulan, nampak berat buat mereka jadi saya dengan rela hati membuat pemotongan ini supaya rakyat boleh melihat kita bersama mereka.

“Ini adalah antara pengorbanan yang cuba kita buat untuk memajukan negeri dan keadaan ini akan beralih apabila keadaan ekonomi kita berjalan elok, sempurna dan sebagainya, kita tengoklah nanti,” katanya.

Abu Bakar berkata demikian selepas menghadiri sesi ‘Clock-In’ pertamanya di Pejabat Menteri Besar Perlis, Kompleks Seri Putra, yang turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail; Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Zaimey Yang Ghazali; dan Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan.

Beliau berikrar pemotongan gaji itu akan diteruskan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Besar.

“Pemotongan ini juga dilakukan untuk mengurangkan bebanan belanja negeri dan ini dilihat mampu untuk membantu negeri.

“Bagi Exco yang dilantik selepas ini, saya akan buat keputusan pemotongan ini untuk mereka dan jumlah RM1,500 ini rasanya tidak ada masalah buat mereka,” katanya.

Abu Bakar turut memperkenalkan pendekatan pentadbiran berkonsepkan 3B – Bangkit, Bingkas dan Buat – sebagai hala tuju baharu negeri.

“Kita mesti Bangkit daripada zon selesa dan membina semula semangat kerja yang progresif yang akan menjadi kunci kejayaan negeri ini dan perlu berani berubah untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.

“Kedua, Bingkas yang mana kuasa yang diamanahkan mesti dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berintegriti serta keputusan perlu dibuat secara berfakta dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Ketiga, Buat, iaitu meskipun dengan modal seadanya, kita mesti terus bertindak proaktif dan kekangan bukan alasan untuk tidak melaksanakan tugas, sebaliknya dorongan untuk bekerja dengan lebih kreatif dan berkesan, biarlah kita bekerja dengan acuan kita sendiri yang bermotifkan kepada Perlis Maju,” katanya.

Beliau menegaskan pendekatan itu bertujuan mengubah budaya kerja jabatan negeri agar lebih proaktif, berdaya saing dan bermatlamatkan hasil berganda, kerana penjawat awam adalah tulang belakang pentadbiran serta rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara. – 29 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related