◉ HEADLINES

Lagi pegawai ATM disiasat SPRM

Suspek utama direman tujuh hari, siasatan dedah rangkaian rasuah lebih luas

2:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan perolehan.

Menurut sumber, difahamkan pegawai berusia 50-an itu akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat, selepas SPRM sebelum ini menahan seorang pegawai kanan ATM berkaitan kes sama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut mengesahkan siasatan terhadap pegawai kanan lain sedang dijalankan.

“Saya minta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya memetik laporan BH.

Siasatan awal mendapati wujud aktiviti penerimaan rasuah secara terancang dalam kalangan pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), dengan SPRM kini meneliti kemungkinan rangkaian lebih luas membabitkan beberapa pegawai lain.

“Permohonan reman tujuh hari membabitkan pegawai kanan itu yang juga suspek utama kes adalah juga untuk menyiasat aspek penerimaan rasuah yang dilakukan secara terancang.

“SPRM juga sedang mengesan pembabitan beberapa pegawai lain, sekali gus menunjukkan adanya rangkaian rasuah lebih luas dalam perolehan agensi berkenaan,” kata sumber.

Di Mahkamah Putrajaya kelmarin, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan bekas Panglima TDM direman tujuh hari, manakala isterinya direman enam hari dan seorang lagi isterinya tiga hari.

SPRM turut menyita enam akaun bank dipercayai milik pegawai kanan TDM dan ahli keluarganya, selain membuka kertas siasatan bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – 10 Januari, 2026

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Education Ministry scraps teacher training system to lighten workload

Minister Fadhlina Sidek vows to help teachers focus on what matters most – teaching – as new curriculum changes approach

What the pork!? – Rocky Bru

Rocky Bru reflects on a surprise in-flight warning about Malaysia’s pork import ban, tracing its public health roots and the politics of pig farming through a seasoned traveller’s lens

◉ Related