◉ HEADLINES

Perkhidmatan Pintar Nadi catat 1.4 juta penyertaan: MCMC

Angka itu mencerminkan sambutan positif dan keperluan berterusan komuniti terhadap pembangunan kemahiran digital serta sosioekonomi

4:11 PM MYT

 

JOHOR BAHRU – Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada komuniti, khususnya di luar bandar, mencatat 1.4 juta penyertaan di seluruh negara setakat Disember tahun lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan angka itu sekali gus mencerminkan sambutan positif dan keperluan berterusan komuniti terhadap pembangunan kemahiran digital serta sosioekonomi.

“Perkhidmatan Pintar NADI antaranya termasuklah e-Sukan, Tuisyen DiLea dan NADI Mahir Baiki Gajet,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan bersempena dengan Hari Bersama Komuniti (HBK) anjuran MCMC dengan kerjasama NADI Taman Desa Belantik di sini, hari ini. 

Program HBK berkenaan dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

NADI antara lain bertujuan memperkasakan komuniti melalui program merangkumi empat bidang fokus utama, iaitu keusahawanan, e-pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, dan kematangan dalam penggunaan Internet. 

MCMC turut memaklumkan sepanjang 2025, sebanyak 9,666 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di seluruh negara, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesedaran penggunaan digital secara selamat dan berhemah, terutamanya bagi golongan kanak-kanak.

Penganjuran HBK, menurut MCMC, mencerminkan peranan NADI sebagai pusat sehenti komuniti yang  berfungsi sebagai platform memperkasakan komuniti melalui pembangunan kemahiran digital, keusahawanan dan penyebaran inisiatif kerajaan pada peringkat akar umbi.

Program berkenaan turut menampilkan pameran dan perkhidmatan agensi lain seperti Kaunter eKasih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Kempen Keselamatan Elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Terdahulu, Fahmi, yang dalam lawatan kerja sehari ke Johor, sempat beramah mesra dengan kanak-kanak serta mengingatkan mereka supaya bijak mengurus masa dalam penggunaan peranti selain beramah mesra dengan penduduk setempat. – 16 Februari, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia suffers RM2.7bil losses from online scams in 11 months, reveals CCID

Bukit Aman’s Commercial Crime Investigation Department highlights telecommunications and e-commerce fraud as the biggest culprits in rising cybercrime figures

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

◉ Related