◉ HEADLINES

Rosmah diperintah bayar RM67.5j hilang 43 utas barang kemas

Hakim turut memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu membayar kos sebanyak RM75,000 masing-masing kepada Global Royalty serta pihak ketiga, iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia

11:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL, syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan, berhubung kehilangan 43 utas barang kemas dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat perintah itu, selepas membenarkan saman yang difailkan oleh Global Royalty terhadap Rosmah.

Hakim turut memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu membayar kos sebanyak RM75,000 masing-masing kepada Global Royalty serta pihak ketiga, iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau telah dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa, hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.

Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.

Hakim Quay, yang menyampaikan keputusan hari ini menerusi Zoom, mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan, berserta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.

Hakim itu turut menolak tuntutan Rosmah untuk mendapatkan tanggung rugi daripada pihak ketiga.

Hakim Quay berkata mahkamah mendapati defendan (Rosmah) gagal melaksanakan obligasinya sebagai pemegang amanah barang (bailI), sambil menegaskan bahawa kegagalan memulangkan barang kemas tersebut merupakan bukti prima facie berlakunya kecuaian.

Beliau berkata plaintif (Global Royalty) tidak menanggung beban untuk membuktikan secara terperinci bagaimana barang kemas itu hilang ketika berada dalam jagaan defendan.

Hakim itu turut menyatakan bahawa defendan tidak boleh sekadar merujuk kepada serbuan polis, kemungkinan penyitaan atau mendakwa pengawal peribadinya telah mengendalikan beg yang mengandungi barang kemas tersebut, bagi melepaskan beban undang-undang yang dipikulnya sebagai baili.

“Defendan mesti membuktikan secara jelas apa yang sebenarnya berlaku kepada barang kemas itu, bahawa kehilangannya bukan berpunca daripada kecuaiannya dan bahawa 43 utas barang kemas tersebut sememangnya telah disita oleh PDRM serta kekal utuh dan dapat dipertanggungjawabkan sepanjang rantaian jagaan yang didakwa. Namun, defendan gagal berbuat demikian.

“Cubaan defendan untuk mengalihkan tumpuan kepada penjelasan bersifat spekulatif berhubung serbuan dan penyitaan oleh PDRM tidak dapat dipertahankan. Hakikatnya, defendan gagal memulangkan baki 43 utas barang kemas tersebut dan tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai nasib barang kemas berkenaan,” katanya.

Peguam David Gurupatham mewakili Global Royalty, manakala Rajivan Nambiar mewakili Rosmah.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin hadir bagi pihak polis. – 10 Jun, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Penang’s shores in peril: a deadly mix of climate change and coastal development”

Rising sea levels, erratic weather, and unchecked development are driving coastal erosion to alarming new heights in Penang, threatening both nature and livelihoods.

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

What does AGC say about withdrawing police reports? – Hafiz Hassan 

According to its e-Participation Policy portal, complainant may submit an application so no action taken on lodged report but decision lies with public prosecutor

◉ Related