◉ HEADLINES

Mahkamah benar anak Daim simpan pasport secara kekal

Kekerapan ke luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk menganggap seseorang berisiko melarikan diri

4:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan anak perempuan kepada bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida Abdul Daim, 65, berhak mendapatkan semula pasport antarabangsa secara kekal.

Hakim Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip dan peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Asnida dalam prosiding semakan kes berkenaan.

“Mahkamah berpendapat tidak ada merit untuk tujuan pasport ditahan di mahkamah. Isu bahawa pengingkaran untuk hadir tidak dibuktikan bagi mengaitkan pengingkaran ini sebagai satu bentuk flight risk jika pasport dibenarkan disimpan dan berada dalam kawalan pemohon tidak ada justifikasi.
Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan semakan ini dan pasport pemohon dikembalikan kepada pemohon dalam tempoh tujuh hari daripada perintah hari ini,” kata hakim.

Nidzuwan berhujah bahawa terdapat risiko Asnida melarikan diri kerana pernah tidak hadir ke pejabat SPRM untuk diambil keterangan.

“Pemohon juga sentiasa ke luar negara dan ada perniagaan di sana, kemungkinan ada risiko flight risk. Mohon mahkamah mempertimbangkan kes ini kerana ia melibatkan salah seorang anak Allahyarham Tun Daim yang mempunyai kepentingan awam,” katanya.

Namun, Rajesh menegaskan kekerapan ke luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk menganggap seseorang berisiko melarikan diri.

“Adalah tidak munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa seseorang yang sering ke luar negara semestinya berisiko melarikan diri. Sejak pasport pemohon diserahkan kepada mahkamah, pemohon sentiasa berada di negara ini,” katanya.

Pada 7 April lalu, Asnida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberikan pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Notis itu dihantar pada 14 November 2023, berkaitan kegagalan mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat — Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Disember 2023 dan jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda sehingga RM100,000. – 10 Jun, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related