◉ HEADLINES

Peruntukan tambahan RM10 juta bagi geran padanan penggantian teksi lama: Anwar

Anwar yakin inisiatif itu mampu melonjakkan pendapatan bersih pemandu teksi hingga RM7,000 sebulan selepas mengambil kira penjimatan menerusi perkhidmatan penyelenggaraan dan kaedah pembiayaan kenderaan

2:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama, khusus untuk manfaat pemandu teksi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengumuman itu susulan sambutan baik terhadap dana berjumlah RM10 juta yang diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2026 bagi pelaksanaan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional.

“Kita ada kesepakatan dengan Proton, dan kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan cari jalan bagaimana untuk adakan skim khusus menerusi pemilikan Proton S70 bagi pemandu teksi.

“Dana yang diumum dalam belanjawan itu kita lihat sambutannya baik, mengambil kira kepentingan teksi, saya luluskan segera tambahan RM10 juta, khusus untuk pembaharuan teksi,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata kerajaan komited memperkukuh industri teksi menerusi penambahbaikan sistem sedia ada bagi memastikan kebajikan pemandu terus terbela selaras dengan perubahan teknologi dan landskap pengangkutan semasa.

Beliau berkata isu teksi yang sering dibangkitkan bukan sahaja berkaitan dengan kelangsungan hidup pemandu, malah turut melibatkan perubahan teknologi yang menyebabkan industri itu ketinggalan, selain faktor majoriti pemandunya terdiri daripada golongan berusia.

Anwar berkata kerajaan juga mewarisi sistem teksi yang lemah termasuk amalan pemberian permit kepada syarikat besar atau pemilik tertentu, sedangkan pemandu sebenar tidak memiliki permit berkenaan.

“Antara isu yang dibangkitkan sejak puluhan tahun ialah mengapa permit tidak diberikan terus kepada pemandu supaya mereka menjadi pemilik dan memperoleh rezeki yang halal,” kata beliau.

Kementerian Pengangkutan, katanya, sedang meneliti pelbagai pendekatan untuk menambah baik sistem tersebut bagi membantu industri dan pemandu teksi menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

Dalam pada itu, Anwar turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyediakan kawasan persinggahan yang lebih selesa untuk pemandu teksi sementara menunggu atau mengambil penumpang.

Berhubung Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional, beliau yakin inisiatif itu mampu melonjakkan pendapatan bersih pemandu teksi hingga RM7,000 sebulan selepas mengambil kira penjimatan menerusi perkhidmatan penyelenggaraan dan kaedah pembiayaan kenderaan.

Program berkenaan menyaksikan model Proton S70 dipilih sebagai model teksi berdasarkan kesesuaiannya untuk operasi teksi termasuk dari aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan penggunaan bahan api.

Pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan penggunaan kenderaan teksi yang lebih moden dan berkualiti bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan teksi.

Bagi menyokong pelaksanaan program ini, Kumpulan DRB-HICOM melalui EON-Avis bersama-sama institusi kewangan turut menyediakan pilihan kaedah pembiayaan bagi memudahkan pemandu teksi beralih kepada kenderaan baharu mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing. – 3 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

QSR Brands records 31% revenue growth in KFC and Pizza Hut Malaysia for FY2025

QSR Brands (M) Holdings Bhd announced a 31% revenue increase in its core businesses, KFC Malaysia and Pizza Hut Malaysia, for the financial year 2025, reflecting the successful execution of its strategic transformation roadmap and disciplined focus on operational efficiency, innovation and sustainable growth

◉ Related