◉ HEADLINES

Buang persepsi Lindung 24 jam membebankan, ia tawar jaminan keselamatan: Ramanan

Lindung 24 jam memberi jaminan keselamatan kepada pekerja dan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, hilang upaya atau kehilangan sumber pendapatan

5:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persepsi bahawa Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membebankan pencarum perlu diubah kerana skim itu menawarkan manfaat yang jauh lebih besar berbanding caruman 0.75 peratus yang dikenakan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata, ia merupakan bentuk perlindungan sosial dan bukan beban kepada pencarum berikutan mengenakan kadar caruman rendah.

Jelasnya, skim berkenaan memberi jaminan keselamatan kepada pekerja dan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, hilang upaya atau kehilangan sumber pendapatan.

“Kalau kita lihat skim ini sebagai satu beban, kita takkan rasa sehingga padah berlaku…berapa banyak kes dalam seminggu akibat kemalangan? Jatuh motosikal, motosikal rosak, kaki patah, tangan patah, tak boleh jaga anak-anak, tak boleh jaga ibu bapa dan sebagainya.

“Adakah 0.75 peratus itu terlalu tinggi jika ia dapat memastikan keluarga terus terbela sekiranya berlaku perkara tidak diingini? Caruman itu adalah untuk melindungi diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Lindung Kerjaya Madani di Seremban, hari ini.

Dianggarkan lebih sembilan juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Caruman Lindung 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji RM6,000.

Dalam pada itu, Ramanan meminta semua pihak memberikan memberi sedikit masa untuk memahami mekanisme skim berkenaan dengan meneliti butiran disediakan, dan melihat sendiri manfaat, bantuan kewangan serta faedah pemulihan yang ditawarkan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

Beliau berkata buat permulaan, kadar caruman bagi Lindung 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan, justeru, majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim itu kepada Perkeso setiap bulan. – 7 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related