◉ HEADLINES

275,787 permohonan turun kandungan scam, akaun palsu, penyamaran dikemukakan MCMC sejak 2022

Sebanyak 262,293 kandungan atau 95% diturunkan berdasarkan penilaian aduan, garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta peruntukan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa

10:59 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengemukakan 275,787 permohonan penurunan kandungan berkaitan penipuan (scam), termasuk akaun palsu dan penyamaran, kepada pemberi perkhidmatan bagi tempoh Januari 2022 hingga 30 Jun lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, berkata daripada jumlah tersebut, 262,293 kandungan atau 95% diturunkan berdasarkan penilaian aduan, garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta peruntukan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.

“Selain itu, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu, sebanyak lima permohonan penurunan kandungan berunsur fraud kewangan dikemukakan di bawah Akta 866 dan kesemua kandungan tersebut telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan’’ katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Rosni Sohar yang ingin mengetahui langkah yang diambil bagi menangani jenayah love scam yang menggunakan kecerdasan buatan (AI), teknologi deepfake dan pemalsuan identiti di platform digital, khususnya terhadap wanita dan warga emas.

Rosni juga ingin mengetahui tindakan terhadap platform media sosial dalam memperkukuh mekanisme pencegahan, pengesanan serta penghapusan akaun penipuan secara lebih berkesan.

Menurut Fahmi, sebarang penyalahgunaan AI bagi tujuan scam, deepfake atau pemalsuan identiti adalah tertakluk kepada bidang kuasa kementerian atau agensi penguat kuasa berkaitan bergantung kepada sifat kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, ujar beliau, jika penggunaan AI menghasilkan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau kandungan memudaratkan, tindakan boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] yang dikuatkuasakan oleh MCMC.

“Bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, Kerajaan melalui MCMC menguatkuasakan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) mulai 1 Jun 2026 di bawah Akta 866.

“Kod ini mewajibkan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) dan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) berlesen melaksanakan langkah pengurangan risiko melalui reka bentuk sistem dan pengendalian perkhidmatan, termasuk pelabelan dan penandaan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan AI seperti deepfake, manipulasi imej dan suara,’’ katanya.

Menurut Fahmi, MCMC juga melaksanakan pemantauan proaktif terhadap penyalahgunaan media sosial bagi mengesan kandungan berunsur jenayah, ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam serta penyebaran maklumat palsu termasuk kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan AI.

Kerjasama strategik, ujar beliau dengan penyedia platform media sosial dan juga agensi penguatkuasaan turut diperkukuh bagi memastikan tindakan yang lebih pantas, berkesan dan bersepadu dapat diambil. – 21 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cklamovski’s tactical gamble: Is Malaysia ready for the 3-4-3 revolution? — Sandru Narayanan

Early signs are promising, but defensive frailties could test Harimau Malaya’s adaptability

[WATCH] Reforms in motion: Kulasegaran outlines major legal and institutional changes

From a proposed Human Rights Tribunal to restoring Parliament’s autonomy and overhauling core laws, Kulasegaran says reforms are advancing, even if public awareness has not caught up.

◉ Related