◉ HEADLINES

Laporan RCI TH dedah penyelewengan, titik mula pemulihan institusi: Muhammad Kamil

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijadikan medan pemulihan bagi membentuk institusi yang lebih telus dan berintegriti, demi menjaga amanah serta titik peluh jutaan umat Islam di negara ini

10:29 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu menjadi noktah kepada episod hitam pengurusan institusi berkenaan, sekali gus menjadi titik mula kepada pembentukan TH yang lebih telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan umat Islam.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendedahan laporan RCI itu merupakan satu detik penting buat negara kerana ia membongkar hakikat penyelewengan sebuah institusi amanah yang didakwa telah dijarah oleh kelompok tertentu.

Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui perkara sebenar memandangkan setiap ringgit yang disimpan di dalam TH merupakan hasil titik peluh dan jerih payah rakyat biasa yang mahu menyempurnakan rukun Islam kelima.  

“Mesti ditegaskan bahawa setiap ringgit yang disimpan di institusi tersebut bukan wang lebihan. Malah, ia hasil daripada menoreh getah, mengusahakan bendang dan kebun, memandu teksi, berniaga kecil-kecilan serta bermacam lagi jerih payah rakyat biasa dengan satu impian besar, iaitu menjadi tetamu Allah.  

“Justeru, apabila amanah sebesar itu diperlakukan dengan cuai, yang dikhianati bukan semata-mata imej sebuah institusi, tetapi harapan dan doa jutaan umat Islam yang menyimpan dengan sabar bertahun-tahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.  

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menegaskan bahawa isu berkenaan bukanlah masa untuk mana-mana pihak menutup kelemahan, mempertahankan imej pentadbiran terdahulu atau melindungi individu dan kelompok yang terlibat.

Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Madani memilih untuk mendedahkan kebenaran berhubung isu berkenaan, walaupun sedar ada pihak yang lebih selesa jika episod hitam itu terus disembunyikan dan dilupakan.

“Tetapi kita mesti berani mengaku bahawa kesilapan dan ketelanjuran telah pun berlaku. Lantaran itu, tugas kita sekarang adalah memastikan mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.  

“Semoga laporan RCI ini menjadi noktah kepada episod hitam tersebut dan menjadi permulaan kepada sebuah institusi Tabung Haji yang lebih telus, berintegriti dan benar-benar berpaksikan kepentingan umat Islam,” katanya lagi. – 24 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

◉ Related