◉ HEADLINES

Trio Kapal Perang LMSB2 TLDM lengkap: ‘Tunku Osman Jewa’ dilancar di Istanbul

Industri pertahanan maritim negara melakar sejarah di Turkiye apabila kapal perang ketiga kelas Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selamat dilancarkan di Istanbul, sebelum dijangka menyertai armada penuh penghujung tahun depan

3:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Industri pertahanan dan ketenteraan maritim negara melakar pencapaian bersejarah apabila kapal ketiga kelas Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) rasmi dilancarkan di Istanbul, Turkiye pada Ahad.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, berkenan menyaksikan majlis pelancaran yang berlangsung mengikut tradisi penuh ketenteraan di Istanbul Shipyard.

Upacara pelancaran itu disempurnakan oleh Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, selaku Royal Sponsor.

Kapal perang moden ketiga dalam siri LMSB2 berkenaan dinamakan secara rasmi sebagai “Tunku Osman Jewa” dengan membawa nombor pennant 143.

Menurut hantaran di Facebook rasmi TLDM, pemilihan nama itu merupakan penghormatan tertinggi negara bagi mengenang jasa serta mengabadikan legasi Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa — kerabat diraja Kedah yang melakar sejarah sebagai anak tempatan pertama dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera.

Majlis bersejarah tersebut turut dihadiri delegasi Kementerian Pertahanan yang diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab; serta Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha.

Fasa peperangan moden dan penyerahan akhir 2027

Pelancaran kapal ketiga ini sekali gus melengkapkan siri pelancaran bagi ketiga-tiga kapal LMSB2 di limbungan Turkiye berkenaan.

“Kemuncak pelancaran kapal ketiga ini menyaksikan ketiga-tiga aset tempur strategik, iaitu Tunku Laksamana Abdul Jalil (141), Raja Laut (142), dan Tunku Osman Jewa (143), yang kini bersedia sepenuhnya untuk melangkah ke fasa seterusnya secara serentak,” menurut kenyataan TLDM.

“Kesemua kapal ini akan mula menjalani fasa integrasi sistem penderia, pemasangan sistem peperangan dan persenjataan moden.”

Selain proses integrasi sistem peperangan, kesemua aset tempur berkenaan bakal melalui siri penilaian ketat melibatkan Ujian Penerimaan Pelabuhan (Harbour Acceptance Trials) serta Ujian Penerimaan Laut (Sea Acceptance Trials).

TLDM menambah, momentum pembinaan yang berjalan lancar mengikut jadual menetapkan kesemua tiga kapal terbabit berada pada landasan tepat untuk diserahkan secara rasmi kepada armada Tentera Laut menjelang penghujung tahun depan. – 10 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

◉ Related