◉ HEADLINES

Kementerian Digital lancar portal Rakyat Digital, pacu aspirasi Negara AI 2030

Seramai 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun bakal menerima akses percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI generatif terkemuka menerusi portal baharu Rakyat Digital yang dilancarkan Kementerian Digital

12:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital secara rasminya melancarkan portal baharu Rakyat Digital sebagai hab pembelajaran sepadu bagi memperkasakan kemahiran rakyat Malaysia mendepani era Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

Inisiatif tersebut menyaksikan seramai 100,000 belia berumur antara 18 hingga 30 tahun yang menyempurnakan modul pembelajaran terpilih bakal menerima akses percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI generatif terkemuka bermula 31 Ogos ini, mengikut pelaksanaan secara berfasa.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran portal berkenaan memperkukuh komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan setiap lapisan masyarakat bersedia mendepani cabaran dan peluang dalam ekonomi berteraskan teknologi.

“Pengumuman ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia bersedia menghadapi masa depan berteraskan AI. Selari dengan aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030, kita perlu memastikan setiap rakyat berpeluang membina kemahiran, keyakinan dan keupayaan yang diperlukan.

“Dengan menggabungkan akses kepada alatan AI bersama pembelajaran berstruktur, ia mewujudkan laluan bagi lebih ramai rakyat, terutamanya golongan belia, untuk membina kemahiran AI praktikal serta menyumbang secara bermakna kepada ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Satu portal, tiga teras utama 3A

Portal Rakyat Digital yang dijayakan bersama MyDIGITAL Corporation itu bertindak sebagai hab sepadu yang menyatukan pelbagai inisiatif digital di bawah satu akaun tunggal.

Pelaksanaannya digerakkan menerusi pendekatan 3A iaitu Kesedaran (Awareness) menerusi Hab Literasi Digital, Akses (Access) melalui Hab Kemahiran Digital dan Pas Pembelajaran Global, serta Penerimagunaan (Adoption) menerusi Hab Pembina AI dan Hab Alat Digital.

Gobind menegaskan bahawa pendekatan ini dilaksanakan secara inklusif membabitkan kerjasama kerajaan, industri, sektor akademik dan komuniti agar faedahnya turut dinikmati masyarakat luar bandar, warga emas, golongan belia, OKU serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Inisiatif ini dirangka secara merangkumi segenap lapisan masyarakat. Kita mahu memastikan penterjemahan kemajuan digital berjalan secara saksama hingga ke kawasan luar bandar dan kelompok kurang diwakili agar tiada sesiapa yang terpinggir daripada arus pemodenan ini,” katanya lagi.

Akses Coursera percuma dan sasaran tenaga kerja 2030

Bagi melayakkan diri menerima akses AI generatif percuma tersebut, para belia dikehendaki menyempurnakan modul pembelajaran yang merangkumi Keselamatan AI, CyberSAFE untuk Rakyat, AI Generatif, Agentic AI, Cloud untuk Rakyat, serta modul nilai dan prinsip Malaysia Madani.

Selain itu, menerusi Pas Pembelajaran Global, kerajaan turut menawarkan akses percuma selama tiga bulan ke platform pembelajaran dalam talian Coursera khusus buat 100,000 rakyat Malaysia.

Program ini akan dilaksanakan dalam empat kohort, dengan kohort pertama membabitkan 25,000 peserta bermula 16 September depan.

Inisiatif ini menyokong sasaran Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, yang meletakkan sasaran melahirkan 80 peratus populasi celik digital, melatih semula 700,000 pekerja, serta melahirkan 5,000 usahawan digital luar bandar.

Pelancaran portal berkenaan diadakan bersempena acara Malaysia AI Takeover 2026 (AIMTO_26) di Ampang, yang turut menganjurkan AI Learn-a-thon bagi mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dan memulakan perjalanan pembelajaran menerusi laman web rasmi di rakyatdigital.gov.my. – 12 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

MACC probes IJM over alleged RM2.5bil money laundering scheme, Sunway takeover at risk

The Malaysian Anti-Corruption Commission is probing IJM Corporation over alleged money laundering and possible share price manipulation involving RM2.5bil, a probe that could jeopardise Sunway Group’s proposed RM11.5bil takeover of the construction giant

Jakim, Islamic affairs get RM2 bil under Budget 2025

This includes maintenance for educational infrastructure under dept, increased Kafa teacher quota, rehabilitation for GISB kids

◉ Related