◉ HEADLINES

Fitnah kerakyatan warga asing sengaja diulang siar tiup sentimen kaum: Saifuddin

Kementerian Dalam Negeri sekali lagi menepis tohmahan mengenai pemberian kewarganegaraan secara pukal dan isu 1.2 juta warga China tidak meninggalkan negara, sambil menggesa rakyat tidak terpedaya dengan naratif palsu yang dikitar semula

10:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi menegaskan bahawa dakwaan kononnya kementerian itu memberikan status kewarganegaraan secara borong kepada warga asing serta isu 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia adalah tidak benar sama sekali.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, biarpun penafian berserta penjelasan berfakta telah dibuat berulang kali, masih ada pihak yang tergamak mengitar semula bahan kempen berunsur fitnah berkenaan di media sosial.

“Saya telah menafikan dakwaan ini berkali-kali sebelum ini. Malah, saya sendiri telah memberikan penjelasan berdasarkan fakta dan data rasmi.

“Namun, masih ada pihak yang sengaja mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetul semata-mata untuk mengelirukan rakyat serta meniup sentimen perkauman dan kebencian,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Beliau menambah, fakta berhubung isu tersebut telah pun dijelaskan secara rasmi dan boleh dirujuk menerusi kenyataan media serta laporan berita terdahulu.

Tegas Saifuddin, tindakan tidak bertanggungjawab menyebarkan rekaan itu bukan sahaja merosakkan reputasi institusi, malah memberi ancaman yang lebih besar kepada kestabilan negara.

“Penyebaran fitnah seperti ini bukan sekadar mencemarkan nama individu atau institusi. Lebih membimbangkan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan keras kepada semua pihak agar menghentikan manipulasi isu sensitif semata-mata untuk agenda politik atau mengejar tontonan di platform digital.

“Saya juga menyeru agar rakyat menyemak kesahihan sesuatu maklumat daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

“Jadilah pengguna media sosial yang bertanggungjawab. Fakta tetap fakta. Data tetap data. Jangan biarkan fitnah mengatasi kebenaran,” tambahnya lagi.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan tindakan beberapa pengguna media sosial yang kembali menularkan poster-poster lama mendakwa KDN meluluskan kewarganegaraan secara borong. – 19 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related