◉ HEADLINES

Krisis Bersatu di Perlis berlarutan, kepimpinan dan sayap bahagian Arau keluar parti

Sebelum ini kepimpinan dan sayap Bersatu di Padang Besar dan Kangar mengumumkan langkah sama, sekali gus memberikan bayangan terhadap kepimpinan parti itu di Perlis

8:33 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu di Perlis terus dilanda krisis berlarutan apabila kepimpinan bahagian Arau mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat-kuasa serta-merta.

Tindakan itu dibuat oleh Bersatu Arau, selepas beberapa hari kepimpinan Padang Besar dan Kangar mengambil langkah yang sama dengan meninggalkan parti, sekali gus menjadikan parti berkenaan semakin goyah di negeri tersebut.

Pimpinan Bersatu Arau yang terlibat meninggalkan parti ialah Timbalan Ketua Bahagian Azrul Azhar Abd Ghani, Naib Ketua Bahagian Sombun Crem, Ketua Srikandi Norazida Mohd Azmi bersama seluruh AJK Srikandi, Ketua Srikandi Muda Zureen Zainon berserta semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi Muda serta keseluruhan AJK Armada bahagian.

Selain itu, 10 ketua cawangan daripada 26 cawangan di bahagian itu turut mengambil tindakan serupa.

Wakil kumpulan berkenaan yang juga AJK Bersatu Arau, Roshita Buyong berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan kepimpinan pusat melantik Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis tanpa rundingan bersama kepimpinan negeri dan akar umbi.

“Kami berpandangan apa-apa keputusan besar melibatkan kepimpinan Bersatu Perlis sewajarnya mengambil kira pandangan kepimpinan bahagian dan akar umbi yang selama ini menggerakkan parti di lapangan. Ini adalah pendirian politik kami dan kami bertanggungjawab terhadap pendirian itu,” katanya, lapor Bernama.

Roshita berkata ia bukan keputusan yang dibuat kerana emosi, sebaliknya keputusan bersama yang lahir selepas menilai dengan serius arah perjuangan politik mereka.

Semalam, Naib Ketua Bersatu Bahagian Kangar Faisol Rahman bersama-sama jawatankuasa bahagian serta 90 daripada 99 ketua cawangan di bahagian itu mengumumkan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Turut mengumumkan sedemikian ialah barisan kepimpinan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda bahagian itu, termasuk Naib Ketua Armada Bahagian Kangar Mohd Firdaus Ismail bersama-sama semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Armada.

Pada Selasa, Bersatu Bahagian Padang Besar bersama-sama 14 ketua cawangan daripada 24 cawangan di bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti serta-merta.

Pimpinan Bersatu Bahagian Padang Besar yang bertindak sedemikian terdiri daripada Timbalan Ketua Ramzi Md Udi, Naib Ketua Ramli Aripin, Naib Ketua Srikandi Fazuwin Razak, Ketua Srikandi Muda Nurul Hafiza Ramli serta dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Zulkefli Hassan dan Nazri Khamis. – 11 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

MACC probes IJM over alleged RM2.5bil money laundering scheme, Sunway takeover at risk

The Malaysian Anti-Corruption Commission is probing IJM Corporation over alleged money laundering and possible share price manipulation involving RM2.5bil, a probe that could jeopardise Sunway Group’s proposed RM11.5bil takeover of the construction giant

Jakim, Islamic affairs get RM2 bil under Budget 2025

This includes maintenance for educational infrastructure under dept, increased Kafa teacher quota, rehabilitation for GISB kids

◉ Related