◉ HEADLINES

“Umno tetap Umno, BN tetap BN”: Zahid gagaskan Kolaborasi Agung elak sengketa politik

Mengangkat prinsip Tafahum Siyasi, Presiden Umno menegaskan pembentukan Kolaborasi Agung bukan penggabungan parti, sebaliknya langkah strategik menghentikan perpecahan demi kestabilan negara tanpa mengorbankan identiti asal

1:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Dengan siapa pun Umno dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama, Umno tetap Umno, Barisan Nasional tetap Barisan Nasional.”

Itu jaminan tegas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengemukakan syor pembentukan Grand Collaboration atau Kolaborasi Agung menerusi persefahaman politik (Tafahum Siyasi) antara gabungan parti di negara ini demi mengelakkan pertembungan yang merugikan ummah dan negara.

Ahmad Zahid menegaskan, gagasan berkenaan bukannya satu bentuk penggabungan parti, sebaliknya titik temu persefahaman bagi memelihara kestabilan politik serta merancakkan semula pertumbuhan ekonomi nasional.

Menurut beliau, pendekatan itu mengambil iktibar daripada kebijaksanaan Perjanjian Hudaibiyyah dan pembukaan Kota Makkah yang membuktikan kemenangan serta persefahaman politik perlu diisi dengan nilai kemaafan, kasih sayang dan penyatuan.

“Kolaborasi Agung ini bukan merupakan penggabungan parti. Sebaliknya, ia adalah persefahaman bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan. Saya faham dan boleh membaca resah orang Melayu yang tidak mahu lagi kita bertembung dan berbalah sesama sendiri.

“Namun, dalam membina titik temu ini, kita tidak memaksa mana-mana pihak mencairkan identitinya. Dalam kata lain, dengan siapa pun Umno dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama, Umno tetap Umno, Barisan Nasional tetap Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden bersempena dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut meletakkan tiga prinsip utama dalam mengemudi Tafahum Siyasi:

Mengutamakan persamaan demi maslahat ummah.

Menghormati perbezaan ideologi serta garis panduan parti masing-masing.

Memegang prinsip toleransi secara anjal.

Beliau turut menekankan bahawa kejujuran dan keikhlasan merupakan prasyarat utama yang tidak boleh dikompromi bagi mengelakkan berulangnya episod pengkhianatan dan perjanjian yang dimungkiri.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menyeru ahli agar mengingati kembali watak dasar Umno sebagai parti yang merancang pembangunan negara merentasi pelbagai generasi, bukannya sekadar berfikir mengikut musim pilihan raya.

Beliau meletakkan pengenalan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai bukti komitmen parti menyantuni pemikiran generasi baharu termasuk Gen Z dan Gen Alpha.

“Kita perlu mengingati kembali watak sebenar Umno. Kita tidak hanya berfikir dari satu penggal ke satu penggal pilihan raya yang lain. Hakikatnya Umno ialah parti yang sentiasa merancang pembangunan negara merentasi usia satu generasi.

“DEB sebagai contohnya tidak dirangka untuk mendapatkan tepukan semusim. TN50 digagaskan untuk menyantuni pemikiran dan hasrat Gen Z sehingga Gen Alpha. Begitulah cara parti pemerintah berfikir,” tambahnya.

Mengakhiri ucapan, beliau menegaskan keutamaan parti adalah memastikan corak serta hala tuju negara yang kukuh dapat diwariskan kepada generasi kepimpinan akan datang, bukannya sekadar memenangi siri pilihan raya semata-mata. – 11 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

Government allocates RM5.9b for AI innovation: MCMC to lead national transformation drive

Malaysia is making a major push into the artificial intelligence era, with nearly RM6 billion allocated to strengthen research, development, and innovation in emerging technologies

Could Ronaldinho lace up again? Ravenna move sparks comeback rumours

Serie C club set to clarify deal involving the former Barcelona star in Miami

◉ Related